“Beruang” ini adalah hadiah untuk cucu saya—kasih yang melimpah-limpah terkandung dalam boneka haiwan gergasi. Agaknya apakah respons cucu saya, Baby D, ketika menerima Beruang tersebut? Pertama, dia berasa kagum. Seterusnya, dia berasa sangat hairan. Kemudian, timbul rasa ingin tahu yang menggesa dia memulakan penerokaan dengan berani. Dia mencucuk hidung Beruang dengan jarinya yang pendek dan montok, dan ketika Beruang itu diambil tangannya, dia berasa sangat gembira! Baby D meletakkan kepalanya pada dada Beruang yang penuh bulu dan memeluknya erat-erat. Lesung pipit terukir di pipinya ketika dia tersenyum lebar, sambil menyembamkan badannya ke dalam kelembutan Beruang yang empuk. Kanak-kanak itu tidak tahu akan ketidakmampuan Beruang untuk benar-benar mengasihinya. Tanpa mengetahui apa-apa dan dengan bersahaja, dia merasakan kasih daripada Beruang dan membalasnya dengan sepenuh hati.
Dalam tiga surat pertama rasul Yohanes kepada orang Kristian pada zaman awal, dia menyatakan bahawa Tuhan sendiri ialah kasih. “Allah itu kasih” (1 Yohanes 4:16).
Tuhan mengasihi kita, bukan melalui boneka haiwan yang palsu, melainkan melalui tangan manusia sebenar yang direntangkan, dan tubuh-Nya dalam bentuk manusia yang menderita kesakitan serta hati yang berdegup tetapi hancur (Yohanes 3:16). Melalui Yesus, Tuhan menghubungkan kasih-Nya yang kelimpahan dan penuh pengorbanan kepada kita.
Yohanes berkata lagi, “Kita mengasihi orang lain, kerana Allah mengasihi kita terlebih dahulu” (1 Yohanes 4:19). Apabila kita percaya bahawa kita dikasihi, kita juga akan mengasihi. Kasih Tuhan yang sejati memampukan kita mampu mengasihi Tuhan dan orang lain—dengan sepenuh hati kita.