Misteri Hercule Poirot dalam karya Agatha Christie, The Clocks melibatkan antagonis yang melakukan siri pembunuhan. Walaupun plot awal mereka hanya menyasarkan seorang mangsa, namun mereka mula meragut lebih banyak nyawa untuk melindungi jenayah pertama. Ketika berhadapan dengan detektif Poirot, seorang konspirator mengakui, “Pada asalnya kita sepatutnya hanya melakukan satu pembunuhan.”
Seperti perancang jahat dalam cerita tersebut, guru Taurat dan orang Farisi juga melakukan konspirasi mereka sendiri. Selepas Yesus menghidupkan semula Lazarus daripada kematian (Yohanes 11:38-44), mereka mengadakan mesyuarat tergempar dan merancang untuk membunuh Yesus (ayat 45-53). Tambahan pula, selepas Yesus bangkit daripada kematian, para pemimpin agama itu menyebarkan pembohongan tentang apa yang terjadi di kubur (Matius 28:12-15). Kemudian mereka memulakan kempen untuk menganiayai para pengikut Yesus (Kisah Rasul-Rasul 7:57-8:3). Apa yang bermula sebagai rancangan keagamaan yang menentang seseorang untuk sesuatu yang “jauh lebih baik” bagi bangsa mereka telah menjadi satu jaringan pembohongan, putar belit, dan mengakibatkan kehilangan nyawa yang berterusan.
Dosa menjatuhkan kita ke jalan yang selalu tiada penghujung, tetapi Tuhan selalu menyediakan jalan keluar. Ketika Kayafas, Imam Agung berkata, “Tidakkah kamu sedar bahawa lebih baik satu orang mati bagi umat kita daripada seluruh bangsa kita dibinasakan?” (Yohanes 11:50), dia tidak faham akan kebenaran kata-katanya itu. Konspirasi para pemimpin agama itu telah membawa karya penebusan bagi manusia.
Yesus menyelamatkan kita daripada cengkaman dosa yang kejam. Sudahkah anda menerima kebebasan yang ditawarkan-Nya?
ILHAM
Untuk menghentikan kemashyuran Yesus yang semakin meningkat, “orang Farisi dan ketua-ketua imam mengadakan mesyuarat dengan Majlis Agama" (Yohanes 11:47). Majlis Agama, berdasarkan model kepimpinan Musa dan tujuh puluh orang pemimpin (Keluaran 24:1), terdiri daripada tujuh puluh orang serta imam besar. Majlis Agama berfungsi sebagai dewan pentadbiran dan mahkamah tinggi Yahudi. Para ketua imam itu (kebanyakannya adalah orang Saduki, iaitu kaum politik dan agama) terdiri daripada imam bangsa itu dan termasuk imam besar. Orang Farisi, kebanyakannya ahli Taurat, adalah pemelihara hukum Taurat yang teliti, khususnya hukum-hukum mengenai upacara kesucian.Ketua-ketua imam berkuasa di Majlis Agama dan merupakan penentang orang Farisi dari segi politik dan agama (Kisah Rasul-Rasul 5:17). Tetapi orang Farisi adalah golongan minoriti yang berpengaruh. Nikodemus (Yohanes 3) dan Yusuf dari Arimatea (Markus 15:43) merupakan orang Farisi. Mereka adalah ahli utama dalam Majlis Agama dan menjadi pengikut Yesus. Mereka mempersiapkan jenazah-Nya untuk dikebumikan dan meletakkan Dia di dalam kubur (Yohanes 19:38-42).