Misteri Hercule Poirot dalam karya Agatha Christie, The Clocks melibatkan antagonis yang melakukan siri pembunuhan. Walaupun plot awal mereka hanya menyasarkan seorang mangsa, namun mereka mula meragut lebih banyak nyawa untuk melindungi jenayah pertama. Ketika berhadapan dengan detektif Poirot, seorang konspirator mengakui, “Pada asalnya kita sepatutnya hanya melakukan satu pembunuhan.”

Seperti perancang jahat dalam cerita tersebut, guru Taurat dan orang Farisi juga melakukan konspirasi mereka sendiri. Selepas Yesus menghidupkan semula Lazarus daripada kematian (Yohanes 11:38-44), mereka mengadakan mesyuarat tergempar dan merancang untuk membunuh Yesus (ayat 45-53). Tambahan pula, selepas Yesus bangkit daripada kematian, para pemimpin agama itu menyebarkan pembohongan tentang apa yang terjadi di kubur (Matius 28:12-15). Kemudian mereka memulakan kempen untuk menganiayai para pengikut Yesus (Kisah Rasul-Rasul 7:57-8:3). Apa yang bermula sebagai rancangan keagamaan yang menentang seseorang untuk sesuatu yang “jauh lebih baik” bagi bangsa mereka telah menjadi satu jaringan pembohongan, putar belit, dan mengakibatkan kehilangan nyawa yang berterusan.

Dosa menjatuhkan kita ke jalan yang selalu tiada penghujung, tetapi Tuhan selalu menyediakan jalan keluar. Ketika Kayafas, Imam Agung berkata, “Tidakkah kamu sedar bahawa lebih baik satu orang mati bagi umat kita daripada seluruh bangsa kita dibinasakan?” (Yohanes 11:50), dia tidak faham akan kebenaran kata-katanya itu. Konspirasi para pemimpin agama itu telah membawa karya penebusan bagi manusia.

Yesus menyelamatkan kita daripada cengkaman dosa yang kejam. Sudahkah anda menerima kebebasan yang ditawarkan-Nya?