Selama bertahun-tahun saya mengenakan perisai ketakutan untuk melindungi hati saya. Ini menjadi satu alasan saya untuk mengelakkan diri daripada mencuba perkara baru, menuruti impian saya, dan mentaati Tuhan. Namun ketakutan akan kehilangan, kesakitan hati, dan penolakan telah menghalang saya membangun hubungan yang penuh kasih dengan Tuhan dan orang lain. Kebimbangan membuatkan saya berasa tidak selamat, khuatir, dan menjadi seorang isteri yang iri hati, serta seorang ibu yang terlalu melindungi dan sentiasa risau. Sungguhpun begitu, ketika saya terus belajar bahawa Tuhan sangat mengasihi saya, Dia mengubah cara saya berhubung dengan Dia dan orang lain: Kerana saya tahu bahawa Tuhan akan memperhatikan saya, saya berasa lebih selamat serta ingin mengutamakan keperluan orang lain terlebih dahulu.
Tuhan itu kasih (1 Yohanes 4:7-8). Kristus mati pada kayu salib—demonstrasi kasih yang terunggul—menunjukkan betapa dalamnya kasih Tuhan terhadap kita (ayat 9-10). Kerana Tuhan mengasihi kita dan hidup dalam kita, maka kita boleh mengasihi orang lain berdasarkan keperibadian dan perbuatan-Nya (ayat 11-12).
Ketika kita menerima Yesus sebagai Penyelamat kita, Dia memberikan kita Roh Kudus-Nya (ayat 13-15). Sementara Roh Tuhan menolong kita mengerti dan bergantung kepada kasih Tuhan, Dia menjadikan kita lebih menyerupai Yesus (ayat 16-17). Ketika kita bertumbuh dalam kepercayaan dan iman, akhirnya ketakutan akan dilenyapkan, kerana tanpa keraguan kita tahu bahawa Tuhan mengasihi kita sedalam-dalamnya dan dengan kasih yang sempurna (ayat 18-19).
Ketika kita mengalami kasih Tuhan yang tanpa syarat, kita bertumbuh dan mampu mengambil “risiko” untuk berhubung dengan Dia dan orang lain dengan kasih yang tanpa ketakutan.
ILHAM
Perjanjian Baru menggunakan empat perkataan Yunani yang berbeza untuk menterjemahkan kasih: phileo, storge, eros, dan agape. Agape adalah satu-satunya perkataan kasih yang digunakan dalam 1 Yohanes 4:7-12, dan digunakan sebanyak tiga belas kali. Ini adalah mengejutkan kerana terdapat dua subjek yang menaruhkan perasaan kasih: manusia dan Tuhan.Ini bermakna bahawa Yohanes menyuruh kita mengasihi Tuhan dan satu sama lain dengan kasih yang sama seperti kasih Tuhan. Kasih agape dilahirkan daripada hati kita kerana nilai berharga dalam sesuatu yang kita kasihi. Kasih ini membawa maksud bahawa kita semata-mata menghargai orang yang kita kasihi, dan bukan berdasarkan sama ada orang itu layak dikasihi atau tidak.