Sewaktu saya masih belajar di universiti, saya menghabiskan musim panas dengan bekerja di sebuah tempat penginapan di ladang ternakan, yang terletak di pergunungan Colorado yang amat indah. Pekerja-pekerja diberikan tugas “kawalan malam” secara bergiliran—untuk memerhati sekiranya berlaku kebakaran hutan agar melindungi para tetamu ketika mereka tidur. Apa yang mula-mulanya kelihatan seperti tugas yang memenatkan dan tidak dihargai, menjadi satu peluang unik bagi saya untuk bertenang, merenung, dan mencari penghiburan dalam hadirat Tuhan yang agung.
Raja Daud bersungguh-sungguh mencari dan haus akan hadirat Tuhan (Mazmur 63:2), bahkan waktu dia berbaring di katil “sepanjang malam” (ayat 7). Mazmur itu jelas mengatakan bahawa Daud berasa risau. Ada kemungkinan bahawa kata-kata yang terkandung mencerminkan kesedihannya yang mendalam atas pemberontakan anaknya, Absalom. Namun, malam menjadi waktu bagi Daud untuk mencari pertolongan dan pemulihan di bawah “naungan sayap [Tuhan]” (ayat 8)—dalam kuasa dan hadirat-Nya.
Mungkin anda sedang menghadapi krisis atau kesusahan dalam hidup, dan keadaan terjaga pada waktu malam sama sekali tidak menghiburkan. Mungkin “Absalom” anda sendiri membebani hati dan jiwa anda. Atau beban-beban lain seperti masalah keluarga, pekerjaan, atau kewangan telah mengganggu waktu rehat anda. Jika demikian, anggapkan masa-masa tanpa tidur sebagai peluang untuk memanggil dan berpaut pada Tuhan—membenarkan tangan-Nya yang penuh kasih untuk menopang anda (ayat 9).