“Dia akan dapat menjumpai saya,” saya berfikir. Saya merasakan jantung saya berdebar dengan lebih cepat ketika saya mendengar jejak kaki sepupu saya yang berusia lima tahun berhampiran. Dia sedang menghampiri. Lima langkah jauhnya. Tiga. Dua. “Jumpa!”

Sorok-sorok. Kebanyakan kita mempunyai kenangan manis bermain permainan itu sebagai kanak-kanak. Namun kadangkala dalam kehidupan, ketakutan untuk dijumpai adalah tidak menggembirakan tetapi berasal daripada satu naluri yang mendalam untuk melarikan diri. Manusia mungkin tidak suka apa yang dilihat mereka.

Sebagai anak-anak dari sebuah dunia yang telah jatuh ke dalam dosa, kita cenderung untuk bermain dengan apa yang dilabelkan seorang kawan saya, “satu jenis permainan sorok-sorok yang berlainan” di antara Tuhan dan kita. Ia adalah lebih seperti sebuah permainan yang berpura-pura bersembunyi—kerana tidak kira apa pun, Dia melihat segala pemikiran yang bingung dan pilihan-pilihan kita yang salah. Kita mengetahuinya, walaupun kita suka berpura-pura bahawa Dia tidak dapat melihatnya.

Namun Tuhan terus mencari. “Keluarlah,” Dia memanggil kita. “Saya mahu melihat kamu, bahkan bahagian-bahagian hidup kamu yang paling memalukan”—gema suara yang sama telah menyeru kepada manusia pertama yang bersembunyi kerana perasaan takut: “Di manakah engkau?” (Kejadian 3:9). Ini merupakan satu jemputan yang begitu hangat disuarakan dalam bentuk pertanyaan yang lantang. “Keluar dari persembunyian, anak-Ku yang dikasihi, dan kembali kepada hubungan dengan Aku.”

Ia mungkin kelihatan terlalu berisiko, bahkan tidak masuk akal. Tetapi di sana, dalam lingkungan penjagaan Bapa kita yang selamat, sesiapa pun kita, tidak kira apa yang telah kita lakukan atau gagal lakukan, kita dapat dikenal dan dikasihi sepenuhnya.