“Memang menakjubkannya kita dapat melihat sepohon pokok dan setiap helai daunnya, bukan sekadar sesuatu yang kekaburan hijau,” kata ayah saya. Saya amat bersetuju dengan kata-kata ayah. Saya berumur 18 tahun pada masa itu dan bukan seorang yang teringin untuk memakai cermin mata walaupun perlu, tetapi cermin mata mengubah cara saya melihat segala-galanya, membuatkan yang kabur itu menjadi cantik!

Semasa membaca Alkitab, saya membaca kitab-kitab tertentu seperti melihat pokok-pokok tanpa cermin mata. Ia nampaknya tidak menarik langsung. Tetapi dengan memperhatikan butiran-butiran, ia boleh mendedahkan keindahan bagi apa yang mungkin kelihatan sebagai satu petikan yang membosankan.

Ini berlaku kepada saya apabila saya membaca kitab Keluaran. Arahan Tuhan untuk membina Khemah Suci—tempat kediaman sementara-Nya di kalangan orang Israel—boleh kelihatan seperti suatu butiran kabur yang membosankan. Tetapi saya berhenti pada akhir fasal 25, tentang arahan Tuhan untuk membuat kaki pelita. Ia seharusnya ditukul “daripada emas tulen,” termasuk alas, batangnya, bunga-bunga hiasan, kuncup dan kelopaknya (ayat 31). Bunga hiasan pada batang kaki pelita harus “berupa bunga badam” (ayat 34).

Pokok badam adalah mengagumkan, dan Tuhan menggabungkan keindahan semula jadi yang sama itu dalam Khemah Suci-Nya!

“Sifat-sifat Allah yang tidak kelihatan, baik kuasa-Nya yang kekal mahupun keadaan-Nya sebagai Allah, dapat difahami oleh manusia melalui segala yang sudah diciptakan-Nya” (Roma 1:20). Untuk melihat keindahan Tuhan, kadangkala kita perlu melihat ciptaan dan petikan Alkitab yang kelihatan tidak menarik melalui lensa baru.