Dalam perjalanan pulang semasa bulan madu, saya dan suami saya menunggu untuk pemeriksaan bagasi kami di lapangan terbang. Saya menyikunya dan menuding ke arah seorang lelaki yang berdiri tidak jauh daripada kami.
Suami saya menengok sekali imbas dan bertanya, “Siapakah orang ini?”
Dengan bersemangat, saya menceritakan watak-watak pelakon terkenal itu dan berjalan ke arahnya untuk mengambil gambar. 24 tahun kemudian, saya masih suka bercerita tentang hari yang saya telah bertemu dengan seorang bintang filem.
Dapat mengenal pelakon terkenal memang menggembirakan saya, tetapi ada Seorang yang lebih penting yang saya sangat bersyukur kerana telah mengenal-Nya secara peribadi. “Siapakah Raja yang mulia itu?” (Mazmur 24:8). Pemazmur Daud merujuk Tuhan Yang Maha Kuasa sebagai Pencipta, Penyokong dan Pemerintah segala sesuatu. Dia bernyanyi, “Bumi dan segala isinya milik TUHAN; dunia dan semua yang mendiaminya kepunyaan-Nya. Dia membina dunia di atas air, dan meletakkan asasnya di samudera” (Mazmur 24:1-2). Dengan penuh kekaguman, Daud mengisytiharkan bahawa Tuhan berada di atas segalanya, namun kita dapat mendekati Dia dengan intim (ayat 3-4). Kita dapat mengenal-Nya, diperkasakan oleh-Nya dan berharap kepada-Nya untuk berlawan bagi pihak kita apabila kita hidup untuk Dia (ayat 8).
Tuhan memberikan peluang kepada kita untuk mengisytiharkan Dia sebagai satu-satunya Peribadi terkenal yang kita harus berkongsi dengan orang lain. Apabila kita memperlihatkan perwatakan Tuhan dalam hidup kita, maka orang yang tidak mengenal-Nya akan mempunyai banyak alasan untuk bertanya, “Siapakah Dia?”. Seperti Daud, kita dapat menyatakan kepada orang lain tentang Tuhan yang penuh keajaiban dan menceritakan kisah-Nya!
ILHAM
Mazmur 24 sering dipadankan dengan Mazmur 15 untuk dinyanyikan ketika orang memasuki Rumah Tuhan untuk beribadat. Dalam Mazmur 24:7-10, Daud menerangkan Tuhan yang layak menerima penyembahan kita. Dia adalah "Raja yang mulia" dan "TUHAN yang perkasa." Perkataan Ibrani untuk kemuliaan, kābôd, secara harfiah bermaksud "berat, bahan, makna"; ia menekankan status dan keindahan Tuhan. Perkataan yang diterjemahkan, Perkasa bermaksud Tuhan menakluki dan memerintah sesebuah pertempuran atau ketenteraan.Kedua-dua Mazmur menggambarkan siapa yang boleh memasuki "gunung" Tuhan: "orang yang hidup tanpa cela dan yang berbuat baik" (Mazmur 15:2); serta "orang yang tulus tindakan dan fikiran" (24:4). Perkataan Ibrani untuk tanpa cela bermaksud "tanpa noda." Perkataan ini juga digunakan untuk menggambarkan korban yang benar (2 Samuel 22:24) dan dapat diterima (Imamat 14:10; 22:19). Akan tetapi, ia adalah mustahil bagi kita untuk menjadi "benar" atau "tidak bersalah". Hanya melalui pengorbanan Kristus, kita boleh menjadi benar (Filipi 3:8-9).