Sewaktu detik-detik cemas yang menyusuli serangan jantung ibu mentua saya, syukurlah sebab dia dapat menerima rawatan perubatan yang segera. Kemudian doktor yang merawatnya memberitahu, kadar hidup bagi pesakit serangan jantung yang kritikal adalah 33 peratus, jika dia mendapat rawatan dalam 15 minit. Tetapi jika rawatan diterima di luar jangka masa itu, maka kadar hidup hanya tinggal 5 peratus.

Ketika dalam perjalanan untuk menyembuhkan anak perempuan Yairus yang sakit tenat (orang ini sangat memerlukan rawatan segera), Yesus melakukan perkara yang tidak diduga: Dia singgah (Markus 5:30). Dia singgah untuk mengenal pasti siapa yang telah menyentuh-Nya, kemudian Dia bercakap secara lembut dengan perempuan itu. Anda dapat membayangkan apa yang difikirkan oleh Yairus: Tiada masa untuk perkara ini, anak saya hampir mati! Kemudian, ketakutannya menjadi kenyataan. Yesus kelihatan telah lama menangguhkan waktu dan anak perempuannya meninggal dunia (ayat 35).

Namun Yesus berpaling kepada Yairus dan memberi kata-kata dorongan: “Jangan takut, percayalah kepada-Ku!” (ayat 36). Kemudian dengan tenang, Dia tidak menghiraukan ejekan para penonton, malah Kristus bercakap kepada anak perempuan Yairus, dan dia hidup kembali! Dia menyatakan bahawa Dia tidak pernah terlambat. Masa tidak dapat membatasi apa yang dapat dilakukan-Nya.

Kita selalu berfikir seperti Yairus. Kita berfikir bahawa Tuhan telah terlambat melakukan apa yang kita harapkan. Tetapi bagi Tuhan, perkara yang sedemikian tidak wujud. Dia tidak pernah terlambat untuk memenuhi pekerjaan-Nya yang baik dan penuh belas kasihan dalam hidup kita.