Rumah seorang pemungut sampah terletak di atas satu jalan curam di kawasan perumahan miskin di Bogota. Tiada apa-apa yang kelihatan istimewa tentang rumah itu. Bagaimanapun, tempat tinggal yang kelihatan biasa sahaja di kota negara Colombia itu tersimpan 25,000 buah buku—bahan bacaan terbuang yang telah dikumpulkan oleh Jose Alberto Gutierrez untuk dikongsikan dengan kanak-kanak miskin dalam komunitinya.
Anak-anak tempatan berkumpul di rumahnya pada hujung minggu semasa “waktu perkhidmatan perpustakaan”. Ketika anak-anak berlegar-legar di setiap biliknya yang dipenuhi dengan buku, tempat ini bukan sekadar rumah Encik Jose yang biasa—tetapi satu harta yang bernilai.
Demikian juga halnya dengan setiap pengikut Kristus. Kita diciptakan daripada tanah liat—yang cacat dengan retakan dan mudah pecah. Tetapi kita telah dipercayakan oleh Tuhan sebagai tempat kediaman Roh-Nya yang berkuasa, yang membolehkan kita membawa berita baik Kristus kepada dunia yang retak dan terluka. Ini adalah satu tugas yang besar bagi orang yang biasa dan yang lemah.
“Tetapi kami yang memiliki harta rohaniah ini, seperti bekas yang dibuat daripada tanah. Dengan demikian nyatalah bahawa kekuasaan tertinggi dimiliki oleh Allah, bukan kami” (2 Korintus 4:7), demikian kata rasul Paulus kepada jemaah di kota Korintus yang kuno. Mereka terdiri daripada ramai orang yang datang di sekitar kawasan ini, jadi ramai orang mungkin tergoda untuk pergi ke merata-rata tempat dan memberitakan tentang diri mereka (ayat 5).
Sebaliknya, Paulus berkata, beritahulah orang tentang Tuhan yang tidak ternilai harganya, yang tinggal di dalam kita. Dia dan kuasa-Nya yang amat besar, telah menukarkan hidup kita yang biasa menjadi harta yang tidak terharga.