Ketika sepasang suami isteri memandu karavan dan melalui California Utara, mereka menyedari bahawa sebuah roda telah pecah dan kedengaran bunyi gesekan metal di jalan raya. Percikan api telah mengakibatkan Kebakaran Carr 2018—apinya merebak dengan cepat dan telah membakar hampir 230,000 ekar tanah, memusnahkan lebih daripada 1,000 buah rumah serta meragut nyawa beberapa orang.
Ketika orang yang terselamat daripada bencana itu mengetahui bahawa pasangan itu menderita kesedihan, mereka pun mencipta sebuah halaman Facebook untuk menunjukkan “belas kasihan dan kebaikan kepada pasangan itu yang diselubungi rasa bersalah dan kekecewaan.” Seorang wanita menulis: Sebagai seorang yang kehilangan rumah disebabkan oleh kebakaran ini—saya mahu anda tahu bahawa keluarga saya [tidak menyalahkan anda], begitu juga dengan semua keluarga lain yang telah kehilangan rumah … Kemalangan memang berlaku. Saya benar-benar berharap agar mesej seperti ini akan meringankan beban anda. Kesemua kita akan berganding bahu untuk melalui saat ini.
Kutukan, perasaan takut bahawa kita telah melakukan sesuatu yang tidak dapat diubah, boleh meragut jiwa manusia. Namun kita bersyukur kerana Alkitab menunjukkan bahawa “jika hati nurani kita menyalahkan kita, maka kita tahu bahawa Allah lebih besar daripada hati nurani kita” (1 Yohanes 3:20). Apa pun hal yang memalukan kita, Tuhan adalah lebih besar daripada semuanya. Yesus menyeru kita bertaubat (jika perlu) agar kita mendapat penyembuhan atau mendedahkan perasaan malu yang melingkupi kita. Kemudian, setelah mendapat penebusan Tuhan, “kita boleh menenangkan hati kita di hadapan Allah” (ayat 19, ATB).
Apa pun kekesalan kita terhadap perkara-perkara yang tidak dapat dipulihkan, Tuhan memanggil kita menghampiri-Nya. Yesus tersenyum pada kita dan berkata, “Hati anda sudah bebas.”