Ketakutan mencengkam hidup seorang lelaki selama 32 tahun. Oleh sebab takut ditangkap atas jenayah yang dilakukannya, dia bersembunyi di rumah ladang kakaknya, tidak dapat pergi ke mana-mana atau menziarahi sesiapa, malah terlepas hari pengebumian ibunya. Ketika dia berumur 64 tahun, dia mengetahui bahawa tiada dakwaan yang pernah dibuat terhadapnya. Lelaki itu bebas untuk meneruskan kehidupan yang normal. Betul, ancaman hukuman itu memang nyata, tetapi dia tidak patut membenarkan ketakutan itu mengawalnya.

Demikian halnya dengan orang Israel yang dicengkam oleh ketakutan ketika orang Filistin mencabar mereka di Lembah Ela. Ancaman itu nyata. Musuh mereka ialah Goliat yang setinggi kira-kira tiga meter dan pakaian tenteranya seberat 57 kilogram (1 Samuel 17:4-5). Selama 40 hari, setiap pagi dan petang, Goliat mencabar tentera Israel untuk melawannya. Akan tetapi tiada seorang pun yang berani untuk menawarkan diri, sehinggalah Daud datang melawat abang-abangnya di barisan pertempuran itu. Dia mendengar dan melihat Goliat mencemuh, dan akhirnya menawarkan diri untuk menentang Goliat.

Ketika semua orang dalam tentera Israel berfikir bahawa Goliat terlalu besar untuk dilawan, Daud seorang gembala muda, mengetahui bahawa Goliat tidaklah terlalu besar bagi Tuhan. Dia berkata, “Dia sentiasa menang dalam peperangan, dan Dia akan menyerahkan kamu semua ke dalam tangan kami” (ayat 47).

Apabila kita diselubungi oleh ketakutan, marilah kita mengikut contoh Daud dan menumpukan mata kita kepada Tuhan untuk memperolehi perspektif yang benar akan masalah itu. Ancaman itu mungkin sahaja nyata, tetapi Dia menyertai kita, dan yang berada di pihak kita adalah lebih besar daripada apa yang menentang kita.