Seorang rakan yang murah hati menawarkan diri untuk menjaga anak-anak kami supaya saya dan isteri boleh keluar berdua-duaan. “Kamu sepatutnya pergi ke suatu tempat yang istimewa!” katanya dengan beria-ia. Kami menuruti cadangannya, tetapi kami akhirnya memutuskan untuk pergi membeli barangan runcit. Sewaktu kami kembali, dengan barangan runcit yang ada di tangan kami, sahabat kami itu bertanya mengapa kami tidak melakukan seperti yang dicadangkannya. Kami memberitahunya bahawa apa yang membuatkan masa berdua-duaan itu istimewa bukan apa yang kita lakukan, melainkan dengan siapa yang kita keluar bersama.

Kitab Rut merupakan salah satu kitab yang tidak merekodkan kata-kata atau pekerjaan Tuhan secara langsung. Kitab ini nampaknya agak biasa sahaja. Jadi, sesetengah orang mentafsirkannya sebagai sebuah drama yang menyentuh hati mengenai satu kisah cinta.

Tetapi kebenarannya, sesuatu yang luar biasa terjadi. Dalam fasal terakhir Rut, kita dapat membaca bahawa perkahwinan Rut dan Boas membawa kelahiran seorang anak yang bernama Obed, iaitu datuk Daud (4:17). Dalam Matius 1:1, Yesus merupakan keturunan daripada keluarga Daud. Yesuslah yang menyingkapkan cerita biasa tentang Rut dan Boas serta memperlihatkan cerita yang luar biasa tentang rancangan dan tujuan Tuhan yang ajaib.

Kita juga selalu melihat hidup kita dengan cara yang sama: biasa sahaja dan tiada tujuan yang istimewa. Tetapi apabila kita memperhatikan hidup kita melalui Kristus, Dia memberikan makna yang kekal biarpun dalam semua situasi dan hubungan kita yang biasa sahaja.