Dalam buku Mere Christianity, C. S. Lewis menulis, “Sudah tentu Tuhan itu di luar lingkup masa. Hidup-Nya tidak terbatas oleh masa … Misalnya, jam pukul 10:30—dan setiap saat dari permulaan bumi—selalunya adalah masa sekarang bagi-Nya.” Namun, musim penantian selalu terasa seakan-akan tidak berakhir. Tetapi apabila kita belajar untuk percaya kepada Tuhan, iaitu Pencipta masa yang kekal, kita dapat menerima realiti bahawa kewujudan kita yang begitu rapuh pasti selamat dalam tangan-Nya.
Ratapan pemazmur dalam Mazmur 102, mengakui hari-harinya “berlalu seperti bayang-bayang pada waktu petang” yang akan segera menghilang dan “layu seperti rumput kering”, sementara “semua keturunan akan mengingati” Tuhan (ayat 12-13). Penulis yang berasa lelah kerana penderitaan, masih mengisytiharkan bahawa Tuhan adalah “raja selama-lamanya” (ayat 13). Dia yakin bahawa kuasa dan belas kasihan Tuhan yang konsisten pasti menjangkau keturunan yang akan datang (ayat 1-19). Sekalipun dalam keputusasaan (ayat 20-25), pemazmur mengarahkan fokusnya pada kuasa Pencipta (ayat 26). Walaupun ciptaan-Nya akan binasa, namun Dia akan kekal sama untuk selama-lamanya (ayat 27-28).
Apabila hidup kita seakan-akan tiada perkembangan, kita cenderung menghadapi cubaan untuk menuduh Tuhan bertindak lambat atau tidak memberi respons. Kita boleh menjadi tidak sabar dan kecewa dengan keadaan lembap . Kita mungkin melupakan Dia yang meletakkan setiap biji batu buntar di atas jalan yang sudah ditetapkan-Nya bagi kita. Tetapi Dia tidak pernah meninggalkan dan membiarkan kita. Ketika kita hidup dengan iman dalam hadirat Tuhan, kita boleh berjalan pada masa sekarang dengan Tuhan.