Saya sedang memasuki kereta ketika cahaya menyilaukan mata saya: sebatang paku terkena pada tayar belakang kereta saya. Saya terdengar bunyi udara yang keluar secara perlahan-lahan daripada tayar tersebut. Syukurlah, lubang itu ditutup—sekurang-kurangnya untuk sementara.

Ketika saya memandu ke sebuah kedai tayar, saya berasa kagum: Sudah berapa lama paku itu berada di situ? Beberapa hari? Minggu? Sudah berapa lama saya terlindung daripada ancaman yang saya sendiri pun tidak tahu akan kewujudannya?

Kita kadangkala boleh hidup di bawah ilusi bahawa kita mengawal segala keadaan. Tetapi paku itu mengingatkan saya bahawa kita tidak dapat mengawal segala-galanya.

Tetapi apabila hidup seolah-olah di luar kawalan dan tidak stabil, kita mempunyai Tuhan yang dapat dipercayai. Dalam Mazmur 18, Daud memuji Tuhan kerana penjagaan-Nya (ayat 35-36). Daud mengakui, “Dialah Allah yang menguatkan aku … Engkau menjaga aku supaya aku tidak ditawan, dan aku tidak pernah jatuh” (ayat 33, 37). Dalam puisi pujian ini, Daud meraikan hadirat Tuhan yang memberikan kekuatan (ayat 36).

Saya sendiri tidak mara ke peperangan seperti Daud; malah saya mengelakkan diri daripada mengambil sebarang risiko. Tetapi hidup saya masih selalu berhadapan dengan pergelutan.

Akan tetapi saya boleh berasa aman dengan mengetahui perkara ini: meskipun Tuhan tidak pernah menjanjikan bahawa kita akan terlepas daripada segala kesusahan dalam hidup kita, namun Dia sentiasa mengetahui tempat yang saya berada. Dia mengetahui ke mana saya sedang pergi dan apa yang bakal saya tempuhi. Dia adalah Tuhan di atas segala sesuatu—termasuklah “paku-paku” dalam kehidupan kita.