Masih ingat akan patung Elmo daripada program TV Sesame Street? Doraemon? Apakah persamaan kedua-dua ini? Setiap satunya merupakan hadiah Krismas yang paling popular sepanjang zaman. Dalam senarai itu juga termasuklah hadiah kesukaan seperti Monopoly, Nintendo Game Boy dan Wii.

Kesemua kita berasa gembira ketika memberikan hadiah Krismas kepada seseorang. Tetapi itu tidak bermakna apa-apa jika dibandingkan kegembiraan Tuhan sewaktu Dia memberikan hadiah pertama Krismas. Hadiah ini datang dalam bentuk seorang bayi, lahir dalam sebuah palung di Betlehem (Lukas 2:7).

Meskipun kelahiran-Nya amat sederhana, namun kedatangan Anak itu telah diberitakan terlebih dahulu oleh seorang malaikat, “Aku datang membawa Berita Baik untuk kamu, berita yang akan menggembirakan semua orang. Pada hari ini di kota Daud telah lahir Penyelamat kamu, Kristus, Tuhan” (ayat 10-11). Berikutan berita yang mengagumkan ini, “sepasukan besar malaikat syurga” muncul, dan “memuji-muji Allah, ‘Termulialah Allah di langit yang tertinggi! Dan di atas bumi, sejahteralah manusia yang menyenangkan hati-Nya!” (ayat 13-14).

Pada musim Krismas ini, bersukacitalah apabila memberi hadiah kepada orang tersayang, tetapi jangan lupa alasan untuk memberi—pertolongan Tuhan yang mengagumkan ke atas ciptaan-Nya dalam bentuk hadiah berupa Anak-Nya untuk menyelamatkan kita daripada dosa. Kita memberi kerana Dia sudah memberi. Semoga kita menyembah-Nya dalam kesyukuran!