“Kegagalan adalah mustahil!” Kata-kata ini diucapkan oleh Susan B. Anthony (1820—1906). Dia dikenali kerana pendirian teguhnya terhadap hak kaum wanita di Amerika Syarikat. Meskipun dia terus-menerus menghadapi kritikan dan kemudiannya ditahan, dibicarakan, dan didapati bersalah kerana mengundi secara haram, Anthony bertekad tidak berputus asa dalam perjuangannya demi mendapatkan hak wanita untuk mengundi, kerana dia percaya bahawa perjuangannya adalah demi keadilan. Walaupun dia tidak lagi hidup untuk melihat hasil usahanya, namun penegasannya dibuktikan benar. Pada tahun 1920, pindaan Perlembagaan yang ke-19 telah memberikan hak mengundi kepada kaum wanita.

Kegagalan bukanlah pilihan Nehemia, terutama kerana dia memiliki Penolong yang Berkuasa: Tuhan. Setelah meminta Tuhan memberkati perjuangannya—membina semula tembok Yerusalem—Nehemia dan orang yang kembali ke Yerusalem daripada pembuangan di Babilonia menyertai pembinaan ini. Tembok itu diperlukan supaya orang Israel selamat daripada musuh. Akan tetapi tentangan ke atas perjuangan itu muncul dalam bentuk tipu muslihat dan ancaman. Dia memberitahu orang yang menentang pekerjaan itu, “Saya sedang menjalankan pekerjaan penting” (Nehemia 6:3). Selepas itu, dia berdoa, “Ya Allah, kuatkanlah aku sekarang” (ayat 9). Oleh sebab ketabahan mereka, maka akhirnya pekerjaan itu telah disiapkan (ayat 15).

Tuhan memberikan Nehemia kekuatan untuk terus tabah ketika menghadapi tentangan. Adakah anda mempunyai tugas yang mengalami cubaan sehingga ingin menyerah kalah? Mintalah agar Tuhan memberikan apa sahaja yang anda perlukan untuk terus bertahan.