Pada suatu hari sewaktu musim Krismas, nenek saya menghadiahkan seutas rantai mutiara yang cantik kepada saya. Manik-manik itu menyerikan kecantikannya. Pada suatu hari, talinya terputus. Manik-manik itu jatuh melantun ke pelbagai arah di atas lantai kayu rumah kami. Setelah merangkak di atas lantai untuk mencari, akhirnya saya menjumpai setiap butir mutiara tersebut. Setiap butir mutiara adalah sangat kecil. Tetapi apabila diikat bersama menjadi seutas rantai, maka mutiara-mutiara itu memberikan kesan yang mengagumkan!

Kadangkala ungkapan “ya” saya kepada Tuhan kelihatannya sangat tidak penting—seumpama sebiji manik mutiara itu. Saya membandingkan diri dengan Maria, ibu Yesus yang ketaatannya sangat hebat. Dia berkata ya apabila dia menerima panggilan Tuhan untuk mengandungkan Mesias. “Maria berkata, ‘Aku hamba Tuhan; biarlah berlaku kepadaku seperti yang engkau katakan.’” (Lukas 1:38). Adakah dia tahu bahawa semua itu melibatkan kerelaan sepenuh hatinya, bahkan menyerahkan Anaknya disalibkan pada masa akan datang?

Selepas lawatan para malaikat dan gembala, Lukas 2:19 memberitahu kita bahawa Maria “menyimpan semua perkara itu di dalam hati dan merenungkannya.” Frasa menyimpan diulang oleh Maria dalam Lukas 2:51. Dia kemudian tidak berhenti-henti memberikan respons “ya” sepanjang hayatnya.

Seperti Maria, kunci kepada ketaatan kita terjalin apabila kita menjawab “ya” kepada panggilan Bapa kita, dari masa ke masa. Sehinggalah semuanya terikat menjadi seutas rantai manik yang seumpama kehidupan yang berserah.