Sewaktu Jeff baru menjadi seorang yang percaya kepada Yesus dan baru menamatkan pengajian di universiti, dia bekerja di sebuah syarikat minyak yang besar. Dalam melakukan tugasnya sebagai seorang jurujual, dia perlu pergi ke tempat-tempat berlainan. Sewaktu dalam perjalanan, dia banyak mendengar orang mengisahkan cerita yang sangat menyedihkan. Dia menyedari bahawa apa yang diperlukan oleh pelanggannya bukanlah minyak, melainkan belas kasihan. Mereka memerlukan Tuhan. Ini mendorong Jeff memasuki seminari Alkitab untuk lebih memahami hati Tuhan dan kemudian menjadi seorang pastor.

Sumber belas kasihan Jeff berdasarkan Yesus. Dalam Matius 9:27-33, kita dapat melihat belas kasihan Kristus secara sekilas lalu dalam kisah penyembuhan dua orang buta dan pembebasan seseorang yang dirasuk roh jahat. Sepanjang pelayanan-Nya di bumi, Dia “pergi dari satu bandar ke bandar lain dan dari satu pekan ke pekan lain” untuk memberitakan Injil dan menyembuhkan orang (ayat 35). Mengapakah demikian? “Apabila Dia melihat orang ramai, Dia mengasihani mereka kerana mereka risau dan tidak berdaya, seperti kawanan domba tanpa gembala” (ayat 36).

Dunia sekarang masih dipenuhi oleh orang yang bermasalah dan disakiti, yang memerlukan belas kasihan Tuhan yang lemah lembut. Seperti seorang gembala yang memimpin, melindungi dan memelihara domba-domba-Nya, Yesus menyalurkan belas kasihan-Nya kepada semua orang yang mahu datang kepada-Nya (11:28). Tidak kira di mana kita berada dan apa jua yang kita sedang alami, kita mengalami kelembutan dan kasih-Nya. Dan apabila kita menerima belas kasihan Tuhan, kita juga pasti mahu menyalurkan belas kasihan Tuhan kepada orang lain.