Banyak perkara telah berubah sejak jam elektrik direka pada tahun 1840-an. Sekarang kita melihat waktu pada jam pintar, telefon pintar dan komputer riba. Segala rentak kehidupan seakan-akan semakin laju, demikian juga apabila kita berjalan-jalan dengan santai. Para cendekiawan berkata bahawa keadaan ini sangat benar terutamanya di bandar dan mempunyai kesan negatif terhadap kesihatan. “Pergerakan kita menjadi semakin cepat dan kita selalu membalas orang secepat mungkin,” kata Profesor Richard Wiseman. “Itu membuatkan kita berfikir bahawa semua perkara harus berlaku sekarang.”
Musa, penulis salah satu Mazmur tertua, merenungkan hal masa. Dia mengingatkan kita bahawa Tuhanlah yang menguasai rentak kehidupan. “Seribu tahun seperti sehari bagi-Mu; seperti hari kelmarin yang telah lalu, seperti satu giliran jaga pada waktu malam” (Mazmur 90:4).
Rahsia pengurusan masa bukanlah bertindak dengan cepat atau lambat. Rahsia itu adalah tinggal dalam Tuhan dan meluangkan lebih banyak masa dengan Dia. Kemudian kita akan berjalan serentak dengan orang lain, tetapi kita terlebih dahulu harus berjalan serentak dengan Dia yang telah membentuk kita (Mazmur 139:13) dan mengetahui tujuan dan rancangan hidup kita (ayat 16).
Hidup kita di bumi bukan sampai selama-lamanya. Tetapi kita dapat mengurus kehidupan kita dengan bijak bukan dengan melihat jam kita, tetapi dengan memberikan setiap hari kepada Tuhan. Seperti yang dikatakan oleh Musa, “Sedarkanlah kami betapa pendeknya usia kami, supaya kami menjadi bijak bestari” (90:12). Maka kita akan berjalan seiring dengan Tuhan tepat pada waktunya, sekarang dan selamanya.