10 ribu jam. Menurut penulis Malcolm Gladwell, itulah tempoh yang diperlukan untuk menjadi pakar dalam apa jua kemahiran. Demikian dengan artis dan ahli muzik yang sangat hebat sepanjang masa. Kebolehan semula jadi yang dimiliki mereka tidak mencukupi bagi mereka untuk mencapai tahap kemahiran yang akhirnya dicapai mereka. Mereka perlu menanam diri mereka dalam kemahiran itu setiap hari.
Walaupun kedengaran agak aneh, kita juga perlu memiliki cara berfikir yang sama apabila kita bercakap tentang hidup dalam Roh Kudus. Dalam Galatia, Paulus mendorong jemaah hidup khas bagi Tuhan. Tetapi Paulus menegaskan bahawa perkara ini tidak akan dicapai dengan hanya mentaati beberapa peraturan. Sebaliknya kita dipanggil untuk mengikut pimpinan Roh Kudus. Perkataan Yunani “melangkahlah” yang digunakan Paulus dalam Galatia 5:16 (AVB) secara harfiah bermaksud berkeliling atau mengembara (peripateo). Jadi bagi Paulus, kita harus berjalan dengan Roh Kudus setiap hari dan bukan mengalami kuasa-Nya satu kali sahaja.
Semoga kita berdoa supaya dikuasai oleh Roh Kudus setiap hari—berserah kepada pekerjaan Roh yang menasihati, memimpin, menghibur dan selalu menyertai kita. Apabila kita “dipimpin oleh Roh Kudus” dengan cara ini (ayat 18), maka kita menjadi semakin peka dengan suara Tuhan dan mentaati pimpinan-Nya. Roh Kudus, semoga kami berjalan dengan Engkau hari ini dan setiap hari!
ILHAM
Ajaran utama Paulus tentang elemen inti kehidupan yang dikuasai Roh Tuhan ditemukan dalam Galatia 5:14: “kerana segenap Taurat tersimpul dalam satu perintah ini: ‘Kasihilah sesamamu manusia seperti kamu mengasihi dirimu sendiri.’ ” Ini adalah penting kerana rasul sedang menulis kepada golongan orang percaya yang sedang digoda untuk menghindari daripada rahmat Tuhan dan kembali kepada hukum Musa. Jadi, Paulus mengingatkan orang Galatia bahawa persoalan itu bukan mengekalkan butir-butir yang paling kecil dalam hukum Tuhan, tetapi mendukung tujuan hukum itu—“Kasihi sesamamu manusia seperti kamu mengasihi dirimu sendiri.” Dengan menumpukan perhatian kepada keutamaan ini, Paulus membentangkan mesej yang konsisten dalam firman Tuhan yang disuarakan oleh Yesus (Markus 12:31), Paulus sekali lagi menyebutkan perkara ini dalam Roma 13:9, dan Yakobus (Yakobus 2:8)—semua memetik daripada Musa (Imamat 19:18). Cabaran untuk menjalani kehidupan dalam Yesus dari segi etika adalah sangat jelas.Untuk lebih mempelajari Galatia, bacalah Knowing God through Galatians (Mengenal Tuhan melalui Galatia) di discoveryseries.org/sb224 (bahasa Inggeris).