Dalam puisi berjudul “This Child Is Beloved” (Anak Ini Dikasihi), Omawumi Efueye yang lebih dikenali sebagai Pastor O, menulis tentang ibu bapanya yang pernah cuba menggugurkannya sewaktu dia di dalam kandungan. Setelah beberapa kejadian luar biasa yang menghalangnya digugurkan, maka mereka mengambil keputusan untuk melahirkannya. Pengetahuan tentang pemeliharaan Tuhan ke atas hidupnya telah mendorong Omawumi bersara daripada kerjayanya yang menguntungkan dan melayani Tuhan sepenuh masa. Pada hari ini, dia melayani di sebuah gereja di London dengan setia.
Seperti Pastor O, orang Israel juga mengalami campur tangan Tuhan pada suatu waktu mereka berada dalam keadaan terancam dalam sejarah mereka. Sewaktu orang Israel mengembara di padang gurun, Balak, Raja Moab terserempak dengan mereka. Oleh sebab rasa takut dijajah oleh Israel kerana jumlah mereka yang sangat ramai, Balak memesan Bileam mengutuk pengembara yang tidak menyangka bahawa sesuatu buruk akan menimpa mereka (Bilangan 22:2-6).
Akan tetapi satu hal yang menakjubkan telah berlaku. Setiap kali Bileam membuka mulutnya untuk mengutuk, ucapan berkat pula yang keluar daripada mulutnya! “Aku disuruh memberkati, apabila Allah memberkati, aku tidak dapat membatalkannya” katanya. “Tidak ada kesukaran pada masa depan Israel, tidak ada kesusahan pada masa depan mereka. TUHAN, Allah mereka menyertai mereka … Allah sudah memimpin mereka keluar dari Mesir” (Bilangan 23:20-22). Tuhan memelihara orang Israel daripada peperangan yang tidak disedari mereka.
Sama ada kita nampak atau tidak, Tuhan masih menjaga umat-Nya pada hari ini. Semoga kita menyembah Tuhan yang memberkati kita dengan penuh kesyukuran dan kekaguman.