Kawasan kejiranan kami menggunakan satu laman web untuk membantu para tetangga saling berhubung dengan segera. Jika ada orang dalam kawasan kejiranan saya ternampak singa atau berlakunya kebakaran hutan yang menghendaki semua orang berundur, amaran akan diberikan kepada satu sama lain. Perkhidmatan penjagaan anak-anak menurut keperluan juga disediakan. Selain itu, laman web itu terbukti menjadi sumber penemuan haiwan kesayangan yang hilang. Dengan memanfaatkan pengaruh Internet, mereka yang tinggal berhampiran dapat saling berhubung semula di dunia yang pantas pada hari ini.
Hubungan dengan orang yang tinggal berdekatan juga adalah penting pada zaman Raja Salomo. Sementara hubungan keluarga sangat penting dan merupakan sumber sokongan yang utama, Salomo menyatakan bahawa peranan seorang sahabat juga adalah sangat penting—terutamanya ketika “dalam kesusahan” (Amsal 27:10). Saudara-mara mungkin amat mengambil berat tentang ahli keluarga mereka dan ingin membantu mereka yang berada dalam kesusahan. Namun jika mereka berada jauh, maka tidak banyak yang dapat dilakukan mereka ketika ditimpa malapetaka. Bagaimanapun, oleh sebab jiran-jiran tinggal berdekatan, maka mereka dapat bertindak terhadap keperluan jiran dengan cepat dan sedia membantu.
Oleh sebab teknologi telah memudahkan perhubungan dengan orang yang tersayang di seluruh dunia, maka kita mungkin tergoda untuk mengabaikan orang yang tinggal berdekatan. Yesus, tolonglah kami melaburkan masa dalam menjalinkan hubungan dengan orang yang telah Engkau tempatkan di sekeliling kami!
ILHAM
Kitab Amsal terdiri daripada dua bahagian utama. Selepas kata pengantar yang memperkenalkan buku tersebut (1:1–7), 9 fasal pertama mengandungi ucapan. Kandungan teks itu menyatakan ajaran seseorang bapa kepada anaknya. Bahagian kedua Amsal (fasal 10–31) mengandungi peribahasa-peribahasa yang benar. Amsal mengandungi pemerhatian pendek, galakan, atau larangan yang sering kelihatan seperti nasihat yang mudah difahami dan praktikal. Namun, ini adalah satu kesilapan jika seseorang membaca peribahasa-peribahasa itu tersendiri tanpa mempertimbangkan tema keseluruhan kitab tersebut—perkaitan antara kebijaksanaan dan hubungan dengan Tuhan—hanya kehidupan yang dikuasai atau dipimpin oleh Roh Tuhan dapat mengamalkan kebijaksanaan ini secara konsisten.Diadaptasi daripada Understanding the Bible: The Wisdom Books. Baca di discoveryseries.org/q0422 (bahasa Inggeris).