Pernahkah anda menangkap naga? Saya tidak pernah, sehinggalah anak saya meyakinkan saya memuat turun satu permainan dalam telefon saya. Dengan melihat peta digital yang mencerminkan dunia nyata, permainan ini membolehkan anda menangkap makhluk berwarna-warni yang berhampiran anda.

Berbeza dengan kebanyakan permainan telefon pintar, permainan ini memerlukan pergerakan. Ke mana sahaja anda pergi, kawasan itu akan menjadi sebahagian medan permainan tersebut. Hasilnya? Saya lebih kerap berjalan! Setiap kali saya dengan anak saya bermain, kami berusaha untuk memaksimumkan setiap peluang untuk menangkap makhluk-makhluk yang muncul di sekeliling kami.

Kita sangat mudah untuk memberi tumpuan, malah ketagih dengan permainan yang dicipta untuk menawan hati para pengguna. Tetapi apabila saya bermain permainan itu, persoalan ini timbul: Adakah saya betul-betul memaksimumkan peluang rohani di sekeliling saya?

Paulus mengetahui keperluan untuk peka terhadap pekerjaan Tuhan di sekeliling kita. Dalam Kolose 4, dia meminta didoakan supaya Tuhan memberinya peluang untuk “mengisytiharkan berita tentang rahsia Kristus (ayat 3). Kemudian dia mencabar, “Hendaklah kamu bijaksana dalam hubungan dengan orang yang tidak percaya kepada Kristus,” dan gunakan setiap peluang dengan sebaik-baiknya” (ayat 5). Paulus tidak mahu jemaah Kolose terlepas peluang untuk mempengaruhi orang lain supaya percaya kepada Kristus. Tetapi untuk berbuat demikian, dia perlu benar-benar memahami mereka dan keperluan mereka, kemudian mengadakan perbualan yang “menyeronokkan dan menarik” (ayat 6).

Di dunia kita, ada jauh lebih banyak perkara yang bersaing untuk menarik masa dan perhatian kita berbanding dengan permainan naga khayalan. Namun Tuhan mengajak kita mengembara di dunia yang nyata ini, mencari peluang untuk memperkenalkan Dia kepada orang lain setiap hari.