Anak lelaki kecil itu dengan gembiranya mengoyakkan sebuah kotak besar daripada bapanya yang berkhidmat sebagai anggota tentera. Dia merasakan bapanya tidak akan pulang untuk menyambut hari jadinya. Dalam kotak itu, terdapat sebuah kotak lagi yang terbalut, dan di dalam kotak itu ada sekeping kertas yang tertulis, “Kejutan!” Dalam kebingungan, anak lelaki itu mendongak—sebaik sahaja ayahnya masuk ke dalam bilik. Anak itu menangis dan melompat ke dalam pelukan ayahnya dan berkata, “Aku rindu ayah, aku sayang ayah!”
Pertemuan semula yang digenangi air mata lagi menggembirakan itu menggambarkan teras Wahyu 21 tentang saat gemilang apabila anak-anak Tuhan melihat Bapa yang penuh kasih mereka secara bersemuka—di alam ciptaan yang baru. Di sana, “[Allah] akan menyapu air mata [kita].” Kita tidak akan mengalami kesedihan atau tangisan, kerana kita akan bersama dengan Bapa Syurgawi kita. Seperti “suara lantang” yang berseru dalam Wahyu 21, “Sekarang Allah tinggal bersama-sama manusia!” (ayat 3-4).
Pengikut Yesus sudah mengalami kasih sayang dan kegembiraan, seperti yang dihuraikan dalam 1 Petrus 1:8: “Kamu mengasihi Dia meskipun kamu belum pernah melihat Dia. Kamu percaya kepada-Nya meskipun sekarang kamu tidak melihat Dia. Oleh itu, kegembiraan yang kamu alami itu sungguh besar, mulia, dan tidak terkata.” Bayangkan sukacita kita yang melimpah apabila kita melihat Dia yang kita kasihi dan rindu sedang menyambut kita dengan tangan-Nya yang terbuka!
ILHAM
Wahyu 21:1-7 memberi kita sedikit gambaran mengenai hidup kekal kita. Sedangkan mengetahui bahawa “kematian akan tiada lagi, demikian juga kesedihan, tangisan, dan kesakitan” adalah sesuatu yang menghiburkan (ayat 4), perkara yang paling mustahak tentang syurga adalah ia merupakan tempat kediaman Tuhan, “di situ terdapat keadilan” (2 Petrus 3:13). Dalam penglihatan terakhir tentang kekekalan ini dalam Wahyu 21-22, Yesus mengumumkan, “Sudah selesai” (21:6). Alkitab Terjemahan Baru mencatatkan “Semuanya telah terjadi” menggemakan seruan kemenangan Yesus daripada kayu salib (Yohanes 19:30). Kutukan dosa (Kejadian 3:14-19) akan disingkirkan sepenuhnya dan selama-lamanya (Wahyu 21:4-5). Kristus dengan percuma memberi “sumber air yang memberikan hidup” (ayat 6) yang mula-mulanya ditawarkan kepada Israel ( Yesaya 55:1), kemudian kepada wanita Samaria (Yohanes 4:10), dan kepada sesiapa yang dahaga (7:37).Untuk belajar lebih lanjut, baca Knowing God through Revelation (bahasa Inggeris) di discoveryseries.org/sb248.