Ketika saya di universiti, saya memotong, menyusun, menjual dan menghantar kayu api pada suatu tahun. Ia adalah pekerjaan yang sukar, jadi saya berasa simpati terhadap penebang kayu yang malang dalam kisah 2 Raja-Raja 6.
Sekolah nabi yang ditubuhkan oleh Elisa telah makmur, dan tempat pertemuan mereka menjadi terlalu sempit. Seseorang mencadangkan mereka pergi ke hutan, menebang kayu, dan memperbesar tempat mereka. Elisa bersetuju dan mengikut mereka. Semuanya berjalan lancar sehingga mata kapak seseorang jatuh ke dalam air (ayat 5).
Ada orang yang berkata bahawa Elisa cuma memotong sebatang kayu lalu melemparkannya ke dalam air sehingga dia dapat mengesan mata kapak itu dan menariknya keluar. Jika begitu, ia tidak bermaksud apa-apa. Apa yang benar-benar berlaku ialah satu keajaiban: Tuhan yang menaikkan mata kapak itu supaya ia timbul di permukaan air dan orang itu dapat mengambilnya (ayat 6-7).
Keajaiban yang sederhana membuktikan kebenaran yang mendalam: Tuhan mempedulikan perkara kecil dalam kehidupan—mata kapak, kunci, kaca mata, telefon bimbit yang hilang—perkara kecil yang menyebabkan kita bimbang. Dia tidak selalu mengembalikan apa yang hilang, tetapi Dia memahami dan menghibur kita dalam kesusahan kita.
Selain daripada keyakinan terhadap keselamatan kita, keyakinan terhadap penjagaan Tuhan adalah penting. Tanpanya, kita akan berasa keseorangan di dunia dan berasa bimbang akan banyak perkara. Betapa baiknya kita mengetahui bahawa Tuhan mengambil berat dan mempedulikan kehilangan yang kita alami—sekecil manapun hal tersebut. Apa yang penting bagi kita adalah penting bagi-Nya.