“Tuhan tidak akan membiarkan kamu dicubai lebih daripada yang dapat kamu tanggung,” kata seseorang kepada seorang bapa, ketika anak lelakinya yang berumur 5 tahun baru meninggal kerana penyakit kanser. Namun kata-kata ini yang sebenarnya ingin mendorong bapa itu sebaliknya menyebabkan dia berasa murung, kerana dia tertanya-tanya sebabnya dia tidak dapat menghadapi kehilangan anaknya dengan “baik”. Penderitaan ini begitu berat sehingga dia berasa susah untuk bernafas. Dia tahu kesedihan ini hampir menelan dia, dan dia sangat memerlukan pelukan Tuhan.
Ayat tersebut yang digunakan oleh sesetengah orang sebagai dorongan berasal daripada 1 Korintus 10:13, “Pada waktu kamu ditimpa cubaan, Dia akan memberikan jalan keluar supaya kamu mendapat kekuatan untuk menanggungnya.” Namun konteks dalam kata-kata ini adalah mengenai cubaan, bukan penderitaan. Kita boleh memilih jalan yang diberikan Tuhan untuk keluar daripada cubaan, namun kita tidak boleh memilih jalan keluar daripada penderitaan.
Yesus sendiri juga ingin keluar daripada penderitaan yang dihadapi-Nya, “Hati-Ku sedih sekali sehingga Aku hendak mati rasanya … Ya Bapa, jika boleh, jauhkanlah cawan penderitaan ini daripada-Ku! (Matius 26:38-39). Namun dengan rela Dia disalibkan untuk menyelamatkan kita.
Apabila penderitaan seolah-olah membebani kehidupan kita, itulah saatnya kita lari kepada Tuhan dan menemukan belas kasihan-Nya, dan Dia akan memeluk kita.