Kaunselor saya mendengar dengan sepenuh perhatian semasa saya berkongsi tentang emosi saya yang turun naik setelah melalui minggu yang tertekan. Kemudian dia membawa saya melihat ke luar jendela, ke arah sepohon pokok yang rimbun dengan dedaunan musim luruh berwarna jingga keemasan dan dahan-dahannya yang bergoyang ditiup angin.
Sambil menuding ke arah sepohon pokok yang tidak goyah semasa ditiup angin, kaunselor saya menjelaskan, “Kita adalah seperti pokok itu. Apabila angin kehidupan bertiup dari semua arah, sudah pasti emosi kita akan bergolak. Tetapi ada kalanya kita hidup ibarat dahan yang ditiup angin. Tujuan kami adalah untuk membantu anda menemukan batang pokok anda. Walaupun cabaran datang melanda, anda akan tetap teguh dan stabil.
Gambaran itu kekal dalam fikiran saya: dan ia serupa dengan gambaran yang diberikan Paulus kepada orang yang baru percaya di Efesus. Beliau mengingatkan mereka tentang pemberian Tuhan—kehidupan baru yang mempunyai matlamat dan nilai yang baru (Efesus 2:6-10). Paulus berkongsi tentang kerinduannya untuk melihat kehidupan mereka “berakarkan dan berdasarkan kasih” Kristus (3:17), tidak “diumbang-ambingkan dan ditiup ke sana sini oleh angin ajaran orang licik” (4:14).
Apabila kita bergantung pada diri sendiri, kita sering berasa ragu-ragu dan lemah, takut dan tidak yakin. Tetapi apabila kita bertumbuh dalam identiti sebenar kita dalam Kristus (ayat 22-24), maka kita akan hidup damai dengan Tuhan dan orang lain (ayat 3), dikuatkan dan diteguhkan oleh kuasa dan keindahan Kristus (ayat 15-16).