Beberapa tahun yang lalu, anak lelaki saya yang berusia 4 tahun memberikan saya sebuah bingkai kayu berbentuk hati yang dilekatkan pada sebuah kepingan besi dengan perkataan selamanya yang tertulis di bahagian tengah. “Saya sayang mak selamanya”, katanya.
Saya mengucapkan terima kasih sambil memeluknya. “Mak lagi sayang kamu”.
Hadiah yang tidak ternilai itu meyakinkan saya bahawa kasih sayang anak lelaki saya itu tiada penghujungnya. Pada hari-hari yang sukar, Tuhan memakai hadiah yang indah itu untuk memberikan penghiburan dan dorongan bahawa saya amat dikasihi.
Bingkai itu juga mengingatkan saya tentang kasih Tuhan yang kekal, seperti yang dinyatakan dalam firman-Nya dan disahkan oleh Roh-Nya. Kita boleh percaya kepada kebaikan Tuhan yang tidak berubah dan menyanyikan lagu kesyukuran yang mengesahkan kasih-Nya kekal abadi, seperti pemazmur (Mazmur 136:1). Kita boleh meninggikan Dia di atas segalanya (ayat 2-3), tatkala kita merenungkan keajaiban-Nya yang tidak berkesudahan dan kebijaksanaan-Nya yang tiada tandingan (ayat 4-5). Tuhan yang mengasihi kita selamanya ialah pencipta langit dan bumi yang prihatin dan berkuasa ke atas masa (ayat 6-9).
Kita boleh bersukacita kerana kasih abadi yang dinyanyikan oleh pemazmur adalah kasih yang dicurahkan oleh Pencipta, Tuhan Yang Maha Kuasa ke dalam kehidupan anak-anak-Nya pada hari ini. Walau apa pun yang kita alami, Dia ialah pencipta kita dan menyertai kita, memberi kita kekuatan melalui kasih-Nya yang sepenuhnya tanpa syarat. Terima kasih Tuhan, kerana mengingatkan kami tentang kasih-Mu yang tidak berkesudahan dan mengubah kehidupan!
ILHAM
Dalam Mazmur 136, klausa “kasih-Nya kekal abadi" diulangi dalam bahagian kedua setiap ayat. Klausa ini nampaknya sering digunakan dalam liturgi Israel (lihat 1 Tawarikh 16:34, 2 Tawarikh 5:13, 7:3, 20:21; Ezra 3:11, Mazmur 100:5, 106:1; 107:1).Perkataan “kasih” merupakan perkataan Ibrani hesed, istilah teologi utama dalam kedua-dua Perjanjian Lama dan mazmur ini. Hesed, yang kadangkala diterjemahkan sebagai "kasih teguh," merujuk kepada kasih sayang yang boleh dipercayai dan setia. Hesed adalah kasih yang ditunjukkan terhadap orang lain bukan hanya dalam emosi atau kata-kata, malahan dalam tindakan, melalui pekerjaan yang dilakukan demi kebaikan orang tersayang.
Mazmur 136, mengulangi gambaran penciptaan dalam Kejadian 1:5–9, menggambarkan hesed sebagai sifat khusus Tuhan. Selama ini, Tuhan bukan sahaja bekerja untuk kebaikan umat-Nya, malahan semua ciptaan-Nya.