Semasa saya dan seorang kawan saya pergi ke sebuah kawasan miskin di Nairobi, Kenya, kami terkejut oleh keadaan miskin di situ. Namun, pada masa yang sama, emosi lain—ibarat air segar yang berpusar dalam hati kami semasa kami melihat anak-anak kecil berlari dan berseru, “Mchungaji, Mchungaji!” (“Pastor” dalam bahasa Swahili). Mereka sungguh gembira apabila melihat pemimpin rohani mereka duduk dalam kenderaan bersama dengan kami. Dengan sorakan, anak-anak kecil itu mengalu-alukan ketibaan seorang pemimpin yang prihatin dan mengambil berat tentang mereka.
Semasa Yesus tiba di Yerusalem dengan menunggang seekor keldai, terdapat anak-anak kecil di kalangan mereka yang meraikan kedatangan-Nya. “Pujilah Anak Daud! Diberkatilah Dia yang datang dengan nama Tuhan!” (Matius 21:9, 15). Tetapi bukan pujian untuk Yesus sahaja yang kedengaran. Kita juga boleh membayangkan kebisingan orang yang lari bertempiaran, semua orang yang berjual beli yang berlari tergesa-gesa kerana diusir oleh Yesus (ayat 12-13). Tambahan pula, para pemimpin agama marah setelah menyaksikan mukjizat-mukjizat Yesus (ayat 14-15). Mereka menyuarakan kejengkelan terhadap pujian anak-anak kecil (ayat 16) dan ini mendedahkan hati mereka yang miskin secara kerohanian.
Kita boleh belajar daripada iman anak-anak Tuhan tanpa mengira umur dan tempat, yang mengakui bahawa Yesus ialah Penyelamat dunia. Dialah yang mendengar pujian dan tangisan kita, serta menjaga dan menyelamatkan setiap orang yang datang kepada-Nya dengan iman seperti anak kecil.