Saydee dan keluarganya mempunyai falsafah “tangan terbuka dan rumah terbuka”. Orang dialu-alukan datang ke rumah mereka, “terutama mereka yang dalam kesusahan”, katanya. Dia dibesarkan dalam suasana keluarga sedemikian di Liberia, bersama 9 orang adik-beradiknya. Katanya, “Kami membesar sebagai sebuah komuniti. Kami saling mengasihi dan saling menjaga. Bapa saya mengajar kami untuk mengasihi, memperhatikan, dan melindungi antara satu sama lain”.
Ketika Raja Daud berada dalam kesusahan, dia menemukan kasih yang sedemikian daripada Tuhan. Kitab 2 Samuel 22 (dan Mazmur 18) merekodkan lagu pujiannya kerana Tuhan ialah pelindung sepanjang hidupnya. Dia mengingati, “Dalam kesusahan aku berseru kepada TUHAN; Aku berseru kepada Allahku minta pertolongan. Di dalam rumah-Nya Dia mendengar suaraku; Dia memperhatikan seruanku” (2 Samuel 22:7). Tuhan telah berulang kali menyelamatkan dia daripada musuh-musuhnya, termasuk Raja Saul. Dia memuji Tuhan kerana Tuhan ialah kubu dan pelindungnya (ayat 2-3).
Walaupun kesusahan kita mungkin lebih kecil berbanding dengan apa yang dihadapi oleh Daud, Tuhan tetap mengalu-alukan kita datang kepada-Nya, dan mendapatkan perlindungan yang kita rindukan. Tangan-Nya sentiasa terbuka. Oleh itu kita boleh “menyanyikan lagu pujian” untuk Tuhan (ayat 50).