Saya tidak dapat mengalami semula saat-saat manis ketika bersama dengan anak perempuan kami, Melissa. Masa-masa indah ketika menyaksikan dia bermain bola tampar dengan gembira di sekolah menengah sudah mula pudar dalam ingatan saya. Kadangkala saya juga sukar untuk mengingati kepuasan hati yang menyerlah melalui senyuman pada wajahnya ketika kami menjalankan kegiatan keluarga. Kematiannya pada umur 17 tahun mengakhiri sukacita ini.
Dalam kitab Ratapan, kata-kata nabi Yeremia menunjukkan bahawa dia memahami maksud tentang kehancuran hati. “Aku tidak akan hidup lama lagi,” katanya, “sudah hilang harapanku kepada TUHAN” (3:18). Keadaannya jauh berbeza berbanding dengan anda dan saya. Dia telah memberitakan penghakiman Tuhan dan dia menyaksikan Yerusalem ditakluki. Yeremia kehilangan harapan kerana dia berasa dirinya ditawan (ayat 12), dipulaukan (ayat 14) dan ditinggalkan oleh Tuhan (ayat 15–20).
Tetapi itu bukan akhir ceritanya. Cahaya menembusi segala kekecewaan. Yeremia, yang terbeban dan hancur hati, berkata dengan tergagap-gagap, “Namun harapanku bangkit kembali” (ayat 21). Harapan ini timbul daripada kesedaran bahawa “kasih TUHAN abadi dan rahmat-Nya tidak berkesudahan” (ayat 22). Inilah yang kita perlukan apabila harapan sudah hilang: “Kasih TUHAN abadi dan rahmat-Nya tidak berkesudahan; selalu baru setiap pagi” (ayat 22–23).
Pada waktu yang paling gelap, cahaya yang bersinar daripada kesetiaan Tuhan yang besar mampu menembusi segalanya.