Saya tidak seberapa ingat tentang kelas memandu saya secara terperinci. Tetapi kami telah belajar 5 langkah yang saya tidak akan lupa. 5 langkah itu adalah memerhati, mengenal pasti, meramal, membuat keputusan dan bertindak. Proses ini diajar supaya kami selalu mengamalkannya. Kami perlu memerhatikan keadaan jalan raya, mengenal pasti halangan, meramal kemungkinan yang bakal berlaku daripada halangan itu, membuat keputusan tentang respons kita, dan jika perlu, bertindak menurut keputusan tersebut. Ia adalah strategi yang penting untuk mengelakkan kemalangan.
Saya tertanya-tanya bagaimana idea itu jika diterapkan dalam kehidupan rohani kita. Dalam Efesus 5, Paulus memberitahu orang percaya di Efesus, “Oleh itu, perhatikanlah cara hidup kamu dengan baik. Janganlah hidup seperti orang bodoh, tetapi hiduplah seperti orang bijak” (ayat 15). Paulus mengetahui ada ancaman yang akan memesongkan orang percaya di Efesus, iaitu kehidupan lama yang bertentangan dengan kehidupan baru dalam Yesus (ayat 8, 10-11). Oleh itu, dia menasihati jemaah yang sedang bertumbuh itu supaya berwaspada.
Perkataan yang diterjemahkan “perhatikanlah cara hidup” (ayat 15) bermaksud secara harfiah “perhatikan bagaimana kamu berjalan.” Dengan kata lain, perhatikan sekeliling. Perhatikan ancaman, dan elakkan diri daripada terjatuh dalam dosa seperti menjadi mabuk dan menjalani kehidupan yang mengikut nafsu (ayat 18). Sebaliknya, Paulus berkata, kita berusaha mencari kehendak Tuhan dalam hidup kita (ayat 17), dan kita menaikkan pujian dan syukur kepada-Nya bersama dengan orang percaya lain (ayat 19-20).
Tidak kira apa ancaman yang kita hadapi dan walaupun kita jatuh, kita tetap mengalami kehidupan baru dalam Kristus apabila kita semakin bersandar pada kuasa dan rahmat-Nya yang tidak terhingga.
ILHAM
Paulus mendorong umat Tuhan di gereja Efesus untuk memahami bahawa mereka harus hidup dan bertindak dengan sewajarnya. Mereka diminta untuk menggunakan peluang itu, "kerana masa ini masa yang jahat” (Efesus 5:16). Pada zaman awal Kristian, kejahatan dipandang sebagai ciri-ciri hari-hari terakhir—tempoh masa sejak Kristus diangkat ke syurga sehingga kekembalian-Nya (lihat 2 Timotius 3:1; 2 Petrus 3:3).Buku Word Biblical Commentary berkata, “Hari-hari jahat adalah hari-hari terakhir yang genting dan akan berlangsung untuk satu tempoh yang terhad. Pemahaman itu akan membuat manusia berperasaan keterdesakan terhadap masa sekarang dan kesempatan.”
Petrus mendorong orang percaya untuk memahami bahawa kesempatan untuk berbuat baik adalah lebih penting apabila kita tahu bahawa kita semakin mendekati Hari Kiamat—hari Yesus datang kembali.