Antara 2 pilihan, sama ada melancong di Switzerland atau menyelamatkan anak-anak yang berada dalam bahaya di Prague, apakah pilihan anda? Nicholas Winton, seorang lelaki biasa telah memilih untuk menyelamatkan orang. Pada tahun 1938, perang antara Czechoslovakia dan Jerman bakal terjadi. Selepas melawat kem pelarian di Prague, tempat yang ramai rakyat Yahudi hidup dalam keadaan teruk, Nicholas terdorong untuk memberi pertolongan. Maka dia mencari dana untuk menghantar ratusan kanak-kanak dari Prague ke Great Britain untuk dijaga oleh beberapa keluarga British sebelum Perang Dunia Kedua tercetus.

Tindakannya seumpama gambaran dalam Mazmur 82: “Bersikap adillah kepada orang miskin dan yang tidak berdaya” (ayat 3). Asaf, pemazmur ini ingin membangkitkan umatnya untuk membantu orang yang lemah: “Selamatkanlah mereka daripada kuasa orang jahat” (ayat 4). Seperti Nicholas yang bekerja mati-matian untuk menyelamatkan anak-anak, demikian juga pemazmur bersuara bagi pihak orang miskin dan balu yang memerlukan keadilan dan perlindungan.

Pada hari ini, kita melihat ramai orang yang memerlukan bantuan di serata tempat akibat perang, bencana alam dan sebagainya. Walaupun kita tidak dapat menyelesaikan semua masalah, kita boleh berdoa dan memikirkan perkara yang perlu dilakukan untuk menolong orang.