Seorang ahli biologi marin sedang berenang berhampiran Kepulauan Cook di Lautan Pasifik Selatan. Tiba-tiba seekor ikan paus bonggol seberat lebih kurang 23,000 kg muncul dan menyelipkan wanita itu di bawah siripnya. Wanita itu menyangka hidupnya nyawa-nyawa ikan. Tetapi setelah berenang dengan perlahan-lahan dalam bulatan, ikan paus itu melepaskannya. Ketika itulah dia melihat seekor jerung harimau sedang meninggalkan kawasan tersebut. Dia percaya bahawa ikan paus itu telah melindunginya daripada bahaya.

Di dunia yang penuh bahaya, kita dipanggil untuk memperhatikan orang lain. Tetapi anda mungkin menanyakan diri, Adakah aku benar-benar dipertanggungjawabkan terhadap orang lain? Atau seperti yang dikatakan Kain, “Haruskah aku menjaga adikku?” (Kejadian 4:9). Perjanjian Lama memberi jawapan yang gemuruh: Ya! Sebagaimana Adam menjaga taman, demikian Kain perlu menjaga Habel. Israel perlu memperhatikan orang yang lemah dan menjaga mereka yang ada kekurangan. Tetapi mereka melakukan yang sebaliknya. Mereka mengeksploitasi orang, menindas yang miskin dan gagal menyahut panggilan Tuhan untuk mengasihi orang lain seperti diri sendiri (Yesaya 3:14-15).

Dalam kisah Kain dan Habel, walaupun Kain melakukan kesalahan dan diusir, tetapi Tuhan terus memperhatikannya (Kejadian 4:15-16). Tuhan menjaga Kain, sedangkan ini yang sepatutnya dilakukan Kain terhadap Habel. Ini merupakan gambaran indah tentang apa yang dilakukan Tuhan melalui Yesus untuk kita. Yesus menjaga dan memberi kita kuasa untuk melakukan hal yang sama kepada orang lain.