Kata-kata keras adalah menyakitkan. Jadi rakan saya—seorang penulis yang pernah memenangi anugerah—bergelut untuk membalas kritikan yang diterimanya. Buku barunya telah memperoleh ulasan lima bintang serta memenangi anugerah besar. Kemudian seorang pengulas majalah yang disanjunginya memberi pujian sambil mengkritiknya dengan keras. Dia berpaling kepada rakan-rakannya dan bertanya, “Apakah sepatutnya respons saya?”
Seorang kawan menasihatinya, “Biarkan sahaja.” Saya juga pernah memberi nasihat sebagai seorang penulis majalah, termasuk petua untuk mengabaikan kritikan atau belajar daripadanya sambil terus bekerja dan menulis.
Walau bagaimanapun, akhirnya, saya memutuskan untuk merujuk kepada Alkitab—yang mempunyai nasihat terbaik untuk semua perkara—cara untuk membalas kritikan yang kuat. Kitab Yakobus menasihati, “Kamu tahu bahawa setiap orang haruslah cepat mendengar, tetapi lambat berkata-kata, dan lambat naik marah.” (Yakobus 1:19). Rasul Paulus menasihati kita semua “hidup rukun” (Roma 12:16).
Walau bagaimanapun, seluruh fasal Amsal ini mengajar kebijaksanaan untuk bertindak balas terhadap perselisihan. “Jawapan yang lembut meredakan kemarahan, sedangkan kata-kata yang pedas membangkitkan amarah,” kata Amsal 15:1. “Orang yang sabar mendatangkan perdamaian” (ayat 18). “Orang yang menerima tegur ajar, menjadi lebih bijak” (ayat 32). Dengan kebijaksanaan ini, semoga Tuhan membantu kita menahan lidah kita, seperti kawan saya. Namun, apa yang penting, kebijaksanaan mengarahkan kita “takut kepada Tuhan” kerana “kehormatan didahului oleh kerendahan hati” (ayat 33).
ILHAM
Kebijaksanaan yang terkandung dalam kitab Amsal ada persamaan dengan kitab Yakobus, yang dianggap sebagai “kitab Amsal dalam Perjanjian Baru.” Amsal 15:1, “Jawapan yang lembut meredakan kemarahan, sedangkan kata-kata yang pedas membangkitkan amarah” memantulkan kata-kata hikmat dalam Yakobus 1:19-20. Daripada fasal 1 hingga fasal terakhir dalam kitab Yakobus, alusi atau petikan daripada kitab Amsal dapat kita perhatikan. Amsal 2:6 dan Yakobus 1:5 menonjolkan bahawa Tuhan adalah sumber hikmat. Hikmat Amsal 10:12 diulangi dalam kata-kata terakhir Yakobus mengenai “banyak dosa diampunkan” (5:20). Seperti dalam banyak bahagian Amsal, Yakobus 3 mengingatkan kita bahawa orang yang bijaksana akan berhati-hati dengan kata-katanya.Layarilah ChristianUniversity.org/NT336 (bahasa Inggeris) untuk mengetahui maklumat lanjut tentang kitab Yakobus.