Salah satu penangguhan pos yang paling lama direkodkan dalam sejarah berlangsung selama 89 tahun. Pada tahun 2008, seorang pemilik rumah di United Kingdom menerima surat jemputan untuk menghadiri majlis yang asalnya dikirim pada tahun 1919 kepada bekas penghuni. Surat itu dikirim ke peti suratnya melalui perkhidmatan pos negara, tetapi alasan surat itu terlambat sampai masih menjadi satu misteri sehingga hari ini.
Walaupun usaha komunikasi manusia yang terbaik kadangkala mengecewakan, firman Tuhan menjelaskan bahawa Dia tidak pernah gagal mendengar seruan umat-Nya yang setia. Dalam 1 Raja-Raja 18, Elia mendemonstrasikan kontras yang amat ketara antara berhala Baal dan TUHAN. Untuk mendemonstrasikan siapa itu Tuhan yang benar selepas nabi Baal berdoa selama berjam-jam, Elia mengejek mereka, “Berdoalah lebih kuat lagi! … Baal tuhan, bukan? Mungkin dia sedang melamun atau pergi ke tandas. Mungkin juga dia sedang pergi ke tempat lain! Atau mungkin juga dia sedang tidur, dan kamu harus membangunkan dia!” (ayat 27). Kemudian Elia berdoa kepada TUHAN agar mendengar doanya untuk membawa umat-Nya kembali percaya kepada Tuhan, dan kuasa Tuhan terserlah.
Meskipun doa kita mungkin tidak selalu dijawab secepat doa Elia, kita yakin bahawa Tuhan mendengarkannya (Mazmur 34:18). Alkitab mengingatkan kita bahawa Dia amat menghargai doa kita dan menyimpannya di dalam “mangkuk emas”, seperti kemenyan yang berharga (Wahyu 5:8). Tuhan akan menjawab setiap doa dengan hikmat dan cara-Nya yang sempurna. Tiada surat yang hilang di syurga.