Pasangan suami isteri, Ashton dan Austin Samuelson merupakan lulusan sekolah teologi dengan keinginan kuat untuk melayani Yesus. Bagaimanapun, mereka tidak terpanggil untuk melakukan pelayanan tradisional di gereja. Tetapi bagaimana pula dengan melayani di luar gereja? Sudah pasti ini harus diteruskan. Maka mereka menyatukan panggilan dan kemahiran yang diberikan Tuhan dalam keusahawanan untuk membantu kanak-kanak yang kebuluran di seluruh dunia. Pada tahun 2014, mereka membuka restoran yang menyajikan hidangan taco dan mengoperasinya berdasarkan falsafah “beli-satu-beri-satu”. Bagi setiap hidangan yang dibeli, wang akan didermakan untuk menyediakan hidangan khas dalam memenuhi keperluan pemakanan kanak-kanak yang kekurangan zat dan ini telah menyumbang kepada lebih daripada 6 buah negara di seluruh dunia. Matlamat mereka adalah membantu mengatasi kebuluran kanak-kanak—bermula daripada satu hidangan taco.

Kata-kata Yesus adalah sangat jelas dalam Matius 10: pengabdian dibuktikan oleh tindakan dan bukan sekadar kata-kata (ayat 37–42). Salah satunya ialah tindakan memberi kepada orang “yang paling hina”. Bagi Ashton dan Austin Samuelson, “orang yang paling hina” bukan hanya merujuk kepada kanak-kanak yang kekurangan zat makanan. Kristus memanggil kita memberi kepada sesiapa sahaja yang “kurang penting” di mata dunia iaitu orang yang miskin, sakit, dipenjarakan, orang pelarian dan orang kurang upaya. Jadi, apakah yang harus kita berikan? Yesus berkata, “walaupun hanya air sejuk” (ayat 42), demikian juga dengan taco.