Ramesh sangat suka memberitahu orang lain mengenai Yesus. Dia dengan berani berkongsi dengan rakan-rakan sekerjanya. Sekali sebulan dia akan kembali ke kampungnya pada hujung minggu dan menginjil dari rumah ke rumah. Usaha ini mula mempengaruhi ramai orang untuk mengikut jejaknya—terutamanya setelah dia menyedari kepentingan mengambil masa untuk berehat dan bersantai.
Sebelum itu, Ramesh selalu menghabiskan waktu petang setiap hujung minggu untuk memberitakan Injil. Isteri dan anak-anaknya merinduinya apabila dia keluar menginjil. Oleh itu, dia haruslah membuat setiap masa dan perbualan bermakna. Tetapi dia sentiasa keletihan apabila dia berada di rumah, jadi dia tidak dapat menikmati masa bersantai atau bersembang. Ramesh berasa sangat tertekan.
Walau bagaimanapun, melalui nasihat isteri, rakan-rakan dan pembacaan firman Tuhan, dia disedarkan bahawa keadaan sedemikian adalah tidak seimbang. Amsal 30 menyebut beberapa perkara remeh seperti semut, ayam jantan dan belalang. Betapa kagumnya ketika melihat “cicak dapat ditangkap dengan tangan, namun terdapat di istana” (ayat 28).
Ramesh berasa hairan bagaimana sesuatu yang sangat biasa boleh disebut dalam Alkitab. Memerhatikan cicak seolah-olah membuang masa. Seseorang melihat seekor cicak di istana dan berfikir perkara itu menarik, serta sanggup berhenti untuk memerhatikannya. Mungkin ini cara Tuhan mengingatkan kita bahawa masa bekerja dan istirahat haruslah seimbang. Mungkin kita boleh mengambil masa untuk memerhatikan cicak bersama dengan anak-anak kita, atau bersantai dengan keluarga dan rakan-rakan. Semoga Tuhan memberi kita hikmat untuk mengatur masa bekerja, melayani dan beristirahat.
ILHAM
Amsal 30 ialah koleksi kata-kata daripada “Agur anak Yake” (Amsal 30:1). Kita tidak tahu siapa itu Agur atau bapanya, namun kemungkinan mereka berasal daripada bangsa Masa, yang merupakan keturunan Ismael dan menetap di utara Arab (Kejadian 25:13-14; 1 Tawarikh 1:29-31). Jika Agur dan Yake tergolong kepada bangsa Masa, koleksi kata-kata dalam Amsal 30 adalah contoh tentang Kitab-Kitab Hikmat Ibrani yang berbilang budaya, disesuaikan dan dibentuk untuk teologi Israel.Kadangkala kitab Amsal “meminjam” unsur daripada budaya-budaya lain kerana Kitab-Kitab Hikmat sering mengambil pengajaran melalui dunia di sekeliling mereka dan pengalaman hidup. Hasil pemerhatian tersebut bersifat sejagat dan mencerminkan reka bentuk penciptaan Tuhan yang indah. Amsal 30 mengandungi pemerhatian dari aspek alam semula jadi dan hubungan sosial yang menawarkan pengajaran yang tersirat tentang kehidupan yang bijak.