Di Pontiac, Michigan, sebuah bangunan telah salah dirobohkan. Para penyiasat percaya bahawa pemilik rumah yang asal telah menukarkan alamatnya kepada rumah jiran bagi mengelakkan rumahnya dirobohkan.

Yesus melakukan yang sebaliknya. Misi-Nya adalah untuk membiarkan “rumah” milik-Nya dirobohkan demi orang lain. Pastinya hal ini membingungkan orang ramai termasuk para pengikut Yesus sendiri. Bayangkan keadaan mereka ketika Dia mencabar para penguasa, “Runtuhkanlah Rumah Tuhan ini, lalu dalam tiga hari Aku akan membinanya lagi” (Yohanes 2:19). Para penguasa itu membalas dengan marah, “Engkau mahu membinanya lagi dalam tiga hari? … Empat puluh enam tahun sudah diperlukan untuk membina Rumah Tuhan ini!” (ayat 20). “Sebenarnya Rumah Tuhan yang dimaksudkan oleh Yesus itu tubuh-Nya sendiri” (ayat 21). Tetapi mereka tidak memahaminya.

Mereka tidak tahu Dia datang untuk menunjukkan bahawa kemusnahan kita terhadap diri sendiri dan orang lain akibat dosa akhirnya akan menimpa-Nya. Dia akan menebus kita.

Tuhan lebih memahami hati kita berbanding diri kita. Oleh itu, Dia tidak mempercayakan rancangan-Nya yang lengkap meskipun kepada orang yang melihat mukjizat-Nya dan yang percaya kepada-Nya (ayat 23–25). Kita tidak dapat memahaminya walaupun Dia memberitahukannya kepada kita. Walau bagaimanapun, Tuhan secara perlahan-lahan menyingkapkan kasih dan kebaikan melalui kata-kata Yesus.