Ketika kami membeli rumah kami, kami mewarisi sebuah kebun anggur sekali. Sebagai seorang peladang baru, keluarga saya banyak belajar cara memangkas, menyiram dan menjaga tanaman. Ketika tiba musim menuai yang pertama, saya berasa kecewa kerana anggur itu masam.

Kekecewaan saya adalah disebabkan oleh penjagaan kebun dengan begitu susah-payah hanya mendatangkan penuaian anggur yang masam. Ini menggemakan Yesaya 5 yang menggambarkan hubungan Tuhan dengan bangsa Israel. Tuhan digambarkan sebagai seorang peladang yang membuang batu-batu di tebing bukit, menanam anggur pilihan, membina menara penjagaan, menggali sebuah lubang untuk memeras buah anggurnya lalu menikmati hasil tuaian-Nya (Yesaya 5:1–2). Apa yang mengecewakan-Nya ialah kebun anggur itu, yang mewakili bangsa Israel, mereka menghasilkan anggur yang masam kerana mereka mementingkan diri, melakukan ketidakadilan dan penindasan (ayat 7). Maka Tuhan dengan berat hati memusnahkan kebun anggur itu dan meninggalkan sisa-sisa pokok anggur supaya menghasilkan tuaian yang baik pada suatu hari nanti.

Dalam Injil Yohanes, Yesus menyebut semula ilustrasi kebun anggur dengan berkata, “Akulah pokok anggur dan kamu carang-carangnya. Sesiapa yang tetap bersatu dengan Aku, dan Aku dengan dia, akan berbuah lebat” (Yohanes 15:5). Yesus menggambarkan orang percaya dalam diri-Nya sebagai carang-carang anggur yang bersambung dengan-Nya iaitu pokok anggur yang utama. Ketika kita tetap berhubung dengan Yesus melalui doa, kita mempunyai akses terus kepada makanan rohani yang menghasilkan buah yang paling manis, iaitu kasih.