Beberapa tahun yang lalu, saya telah dijemput untuk berkongsi tentang Yesus di sebuah asrama lelaki universiti. Memandangkan mereka terkenal dengan sikap kasar, saya membawa seorang rakan sebagai sokongan saya. Dalam suasana riuh semasa makan malam meraikan kemenangan kejuaraan bola sepak, ketua rumah itu mengumumkan, “Ada 2 orang lelaki di sini ingin bercakap tentang Tuhan.”

Dengan kaki yang bergetar, saya mula berbicara tentang kasih Tuhan kepada mereka dan suasana semakin reda. Mereka memberikan perhatian sepenuhnya dan mengutarakan banyak pertanyaan dengan jujur dan hangat semasa sesi soal jawab. Kemudian, kami memulakan pembelajaran Alkitab di situ, dan pada tahun-tahun berikutnya ramai telah menerima Yesus sebagai Penyelamat.

Saya selalu mengalami saat-saat yang “Iblis jatuh dari langit seperti kilat” (Lukas 10:18), tetapi ada juga waktunya orang tidak percaya kepada Yesus.

Lukas 10 menceritakan pengikut-pengikut Yesus yang kembali dari misi untuk melaporkan kejayaan mereka yang besar. Ramai orang telah diselamatkan, roh-roh jahat diusir dan orang disembuhkan. Para pengikut sangat gembira dan Yesus menjawab, “Aku nampak Iblis jatuh dari langit seperti kilat” (ayat 18). Tetapi Dia kemudiannya memberi peringatan, “janganlah bersukacita kerana roh-roh jahat taat kepada kamu, sebaliknya bersukacitalah kerana nama kamu tercatat di syurga” (ayat 20).

Kita bersukacita apabila mengecapi kejayaan, tetapi mungkin berasa kecewa apabila kita gagal. Teruskanlah melakukan perkara-perkara menurut kehendak Tuhan dan serahkan hasil kepada-Nya. Nama anda sudah tercatat dalam buku-Nya.