Ketika 2 orang cucu saya menyertai acara muzikal Alice in Wonderland Jr., mereka ingin sekali mendapat peranan utama. Maggi ingin memainkan watak Alice, manakala Katie pula menginginkan watak Matilda. Tetapi akhirnya mereka dipilih untuk memainkan watak bunga. Kelihatannya amat sukar bagi mereka naik ke pentas Broadway.
Walau bagaimanapun menurut anak perempuan saya, Maggi dan Katie “sangat teruja dengan rakan-rakan mereka yang mendapatkan watak utama. Kegembiraan mereka kelihatan lebih besar apabila mereka boleh turut merasakan kegembiraan rakan-rakan mereka.”
Interaksi sedemikian sepatutnya kita miliki sebagai anggota tubuh Kristus! Setiap jemaah mempunyai peranan penting. Tetapi ia juga memerlukan bunga yang memainkan peranan penting tetapi tidak menonjolkan diri. Sekiranya yang lain mendapat watak yang kita inginkan, semoga kita memilih untuk memberi dorongan kepada mereka sambil memainkan peranan kita yang diberikan Tuhan dengan penuh semangat.
Pada dasarnya, menolong dan mendorong orang lain merupakan cara untuk menunjukkan kasih kepada Tuhan. Ibrani 6:10 mengatakan, “Dia tidak melupakan apa yang sudah kamu lakukan bagi-Nya, ataupun kasih yang kamu tunjukkan kepada-Nya dengan menolong sesama saudara Kristian.” Segala kurnia-Nya adalah penting. “Oleh itu sebagai pengurus yang baik bagi kurnia Allah, kamu mesti menggunakan kurnia-kurnia itu untuk kepentingan semua orang” (1 Petrus 4:10).
Bayangkan jemaah yang saling mendorong dan menggunakan kurnia yang diberikan Tuhan untuk kemuliaan-Nya (Ibrani 6:10). Pastinya ini akan membawa sukacita!
ILHAM
Pernyataan penulis yang mengharapkan “berkat-berkat yang lebih baik” (Ibrani 6:9) bagi orang percaya yang berbangsa Yahudi kelihatannya merujuk kepada penghukuman keras sebelum ini terhadap orang yang “tidak mahu percaya kepada Kristus lagi” (ayat 4-8) dan kembali memegang kepercayaan Yahudi. Dalam ayat 9, nada penulisan bertukar dan menjadi lebih mesra, dengan menggelar mereka sebagai “saudara-saudara yang tercinta”, dan menggelar mereka dengan menggunakan kata ganti nama diri kedua (“kamu”). Dia menyatakan keyakinannya bahawa mereka akan setia berpegang pada kepercayaan ini.Frasa “berkat-berkat yang lebih baik” secara tidak langsung menunjukkan inti mesej kitab ini. Ketika menulis kepada orang percaya yang berbangsa Yahudi, mereka sedang dan masih menghadapi penganiayaan (10:33-36). Penulis berusaha untuk menunjukkan bahawa Yesus datang untuk menggenapi janji-janji dalam Perjanjian Lama. Kristus adalah jauh “lebih baik” daripada semua orang, kepercayaan, masa lalu atau masa depan, yang mereka boleh berharap (6:11-12). Selain pengorbanan Yesus, Dia memang layak menerima penyembahan mereka yang sepenuh hati.