Mack berputus asa setelah bergelut dengan penyalahgunaan dadah dan dosa seksual. Hubungannya dengan orang tersayang turut bermasalah dan dia sering berasa bersalah. Dalam kesengsaraannya, dia pergi ke sebuah gereja dan meminta untuk bercakap dengan seorang pastor. Selepas berkongsi kisahnya dan mendengar tentang kasih dan pengampunan Tuhan, dia menemukan kebebasan.

Mazmur 32 ditulis oleh Daud selepas dia jatuh dalam dosa seksual. Dia terus berdosa apabila dia membuat rancangan jahat yang mengakibatkan kematian suami wanita yang dia berzina (lihat 2 Samuel 11–12). Ketika peristiwa itu disembunyikannya, akibat tindakannya berlarutan. Mazmur 32:3–4 menggambarkan pergelutan besar yang dialaminya sebelum dia mengakui kekejian perbuatannya; kesan yang menggerunkan akibat dosa yang tidak diakui memang menyeksakan jiwanya. Daud mendapat kebebasan apabila dia bertaubat di hadapan Tuhan dan menerima pengampunan-Nya (ayat 5).

Ketika kita mengatakan atau melakukan perkara yang menyakiti diri kita dan orang lain, terlebih dahulunya kita harus mencari rahmat Tuhan. Kita tidak perlu dihantui oleh rasa bersalah akibat dosa sepanjang hidup. Tangan Tuhan sentiasa terbuka untuk menerima kita apabila kita mengakui kesalahan dan memohon pengampunan-Nya. Kita boleh turut bersorak “Berbahagialah orang yang dosa mereka telah diampunkan, yang kesalahan mereka telah dimaafkan” (ayat 1).