Ketika 2 orang cucu saya menyertai acara muzikal Alice in Wonderland Jr., mereka ingin sekali mendapat peranan utama. Maggi ingin memainkan watak Alice, manakala Katie pula menginginkan watak Matilda. Tetapi akhirnya mereka dipilih untuk memainkan watak bunga. Kelihatannya amat sukar bagi mereka naik ke pentas Broadway.

Walau bagaimanapun menurut anak perempuan saya, Maggi dan Katie “sangat teruja dengan rakan-rakan mereka yang mendapatkan watak utama. Kegembiraan mereka kelihatan lebih besar apabila mereka boleh turut merasakan kegembiraan rakan-rakan mereka.”

Interaksi sedemikian sepatutnya kita miliki sebagai anggota tubuh Kristus! Setiap jemaah mempunyai peranan penting. Tetapi ia juga memerlukan bunga yang memainkan peranan penting tetapi tidak menonjolkan diri. Sekiranya yang lain mendapat watak yang kita inginkan, semoga kita memilih untuk memberi dorongan kepada mereka sambil memainkan peranan kita yang diberikan Tuhan dengan penuh semangat.

Pada dasarnya, menolong dan mendorong orang lain merupakan cara untuk menunjukkan kasih kepada Tuhan. Ibrani 6:10 mengatakan, “Dia tidak melupakan apa yang sudah kamu lakukan bagi-Nya, ataupun kasih yang kamu tunjukkan kepada-Nya dengan menolong sesama saudara Kristian.” Segala kurnia-Nya adalah penting. “Oleh itu sebagai pengurus yang baik bagi kurnia Allah, kamu mesti menggunakan kurnia-kurnia itu untuk kepentingan semua orang” (1 Petrus 4:10).

Bayangkan jemaah yang saling mendorong dan menggunakan kurnia yang diberikan Tuhan untuk kemuliaan-Nya (Ibrani 6:10). Pastinya ini akan membawa sukacita!