Walter Dixon hanya dapat berbulan madu selama 5 hari sebelum dia dihantar untuk menyertai Perang Korea. Kurang daripada setahun kemudian, pasukan tentera menjumpai jaketnya di medan peperangan bersertakan surat-surat daripada isterinya di dalam poket. Pegawai tentera memaklumkan isterinya bahawa suaminya telah terbunuh. Sebenarnya, Dixon masih hidup dan menjadi tawanan selama 2 tahun setengah. Setiap kali dia merancang untuk pulang tetapi gagal selepas cuba melarikan diri sebanyak 5 kali. Akhirnya, dia dibebaskan. Bayangkan kejutan keluarganya apabila dia berjaya pulang ke rumah!

Umat Tuhan tahu apa perasaannya ditawan, dibawa ke tempat jauh dan kerinduan untuk pulang. Disebabkan pemberontakan terhadap Tuhan, mereka mengalami pembuangan. Mereka bangun setiap pagi dengan keinginan untuk pulang tetapi gagal berbuat demikian. Syukurlah, Tuhan berjanji bahawa Dia tidak melupakan mereka. “Aku akan mengasihani mereka dan membawa mereka semua pulang” (Zakharia 10:6). Dia memenuhi hasrat mereka untuk pulang, bukan kerana ketekunan mereka, melainkan belas kasihan-Nya, “Aku akan memanggil umat-Ku … Mereka dan anak-anak mereka akan selamat dan pulang bersama-sama” (ayat 8–9).

Kita mungkin merasakan diri sebagai orang tawanan disebabkan keputusan buruk atau kesusahan yang di luar kawalan kita. Apa pun penyebabnya, Tuhan tidak pernah melupakan kita. Dia mengetahui keinginan kita dan akan memanggil kita. Jika kita menjawab panggilan-Nya, kita akan mendapati diri kita sedang kembali kepada-Nya.