Ketika rakan-rakan sekerjanya mendapat kenaikan pangkat, Benjamin berasa sedikit iri hati. “Kenapa kamu belum menjadi pengurus? Kamu layak mendapat jawatan ini!” kata rakan-rakannya. Tetapi dia menyerahkan kerjayanya kepada Tuhan. “Jika ini rancangan Tuhan, aku akan melakukan tugas ini dengan baik,” jawabnya.

Beberapa tahun kemudian, Benjamin akhirnya mendapat kenaikan pangkat. Pada masa itu, pengalamannya yang bertahun-tahun membolehkannya melakukan kerjanya dengan yakin dan dihormati oleh orang bawahannya. Sementara itu, beberapa rakannya masih bergelut dengan tanggungjawab mereka kerana dinaikkan pangkat ketika masih belum bersedia. Benjamin menyedari bahawa Tuhan membiarkannya melalui “jalan yang panjang” supaya dia membuat persediaan yang lebih baik untuk jawatannya.

Ketika Tuhan memimpin orang Israel keluar dari Mesir (Keluaran 13:17–18), Dia memilih perjalanan yang panjang kerana “jalan pendek” ke Kanaan penuh dengan risiko. Menurut pengulas Alkitab, perjalanan yang lebih panjang itu memberi mereka lebih banyak masa untuk menguatkan diri secara fizikal, mental dan rohani untuk pertempuran seterusnya.

Jalan singkat tidak selalunya baik. Kadangkala Tuhan membiarkan kita menempuh jalan yang lebih panjang dalam hidup, sama ada dari segi kerjaya mahupun perkara lain supaya kita lebih dipersiapkan untuk menghadapi perjalanan yang bakal ditempuhi di hadapan. Apabila sesuatu perkara tidak berjalan secepat jangkaan kita, percayalah akan pimpinan Tuhan.