Lily ialah seorang penterjemah Alkitab. Dalam perjalanan pulang ke negaranya, dia ditahan di lapangan terbang. Telefon bimbitnya ditahan apabila beberapa pegawai menemukan salinan audio Perjanjian Baru dalam telefon itu. Dia disoal siasat selama 2 jam. Mereka kemudian memintanya memainkan aplikasi telefon bimbitnya, kebetulan audio itu memainkan Matius 7:1–2, “Jangan hakimi orang lain, supaya Allah tidak menghakimi kamu juga … Sukatan yang kamu gunakan untuk menghakimi orang lain akan digunakan oleh Allah untuk kamu.” Salah seorang pegawai berasa tersentuh setelah mendengar ayat tersebut dalam bahasanya sendiri lalu membebaskan Lily tanpa syarat.

Kita tidak tahu apa yang terjadi dalam hati pegawai itu, tetapi kita tahu bahawa “firman yang [diucapkan Tuhan] akan berjaya mencapai tujuan-[Nya],” dan melakukan setiap perkara yang ditentukan Tuhan (Yesaya 55:11). Yesaya menubuatkan kata-kata penuh harapan ini kepada umat-Nya yang berada dalam pembuangan untuk meyakinkan mereka bahawa seperti “salji dan hujan … menumbuhkan tanaman,” demikian juga apa yang diucapkan Tuhan mencapai tujuan-Nya (ayat 10–11).

Kita boleh membaca petikan ini untuk memperkukuh keyakinan kita dalam Tuhan. Semasa kita menghadapi kesukaran seperti yang dihadapi oleh Lily, semoga kita diyakinkan bahawa Tuhan sedang bekerja walaupun pada masa kita tidak melihat hasilnya.