Kebakaran liar yang merebak tanpa kawalan telah menghanguskan hampir 50,000 ekar kawasan hutan di Andilla, Sepanyol. Tetapi sejumlah pokok sipres yang berwarna hijau muda terselamat daripada kebakaran mungkin disebabkan oleh pokok itu mampu menyimpan air.

Semasa pemerintahan Raja Nebukadnezar di Babilonia, sekumpulan kecil rakan terselamat daripada api akibat kemurkaan raja itu. Sadrakh, Mesakh dan Abednego menolak untuk menyembah patung yang didirikan oleh Nebukadnezar. Mereka berkata, “Jika Allah yang kami sembah itu sanggup menyelamatkan kami dari relau yang bernyala-nyala dan daripada kuasa tuanku, Dia akan menyelamatkan kami” (Daniel 3:17). Raja itu sangat murka sehingga “memanaskan relau tujuh kali lebih panas daripada biasa” (ayat 19).

Para askar yang menjalankan perintah raja untuk melemparkan ketiga-tiga mereka ke dalam api yang bernyala-nyala dibakar sehingga mati, orang lain pula mendapati bahawa Sadrakh, Mesakh dan Abednego kelihatan berjalan-jalan di tengah-tengah api dalam keadaan yang “tidak terikat” dan “tidak cedera.” Seorang lagi turut kelihatan dalam relau, iaitu “orang keempat itu rupanya seperti malaikat” (ayat 25). Banyak cendekiawan percaya bahawa itulah Yesus yang telah menyatakan diri-Nya.

Yesus menyertai kita semasa kita menghadapi cubaan. Sewaktu kita terdesak untuk menyerah kepada ancaman, kita tidak perlu takut. Kita mungkin tidak selalu menyedari pertolongan-Nya, tetapi kita tahu Dia menyertai kita. Dialah yang memberi kita kekuatan untuk tetap setia kepada-Nya walau apa pun “api” yang kita lalui.