Ketika kami memasuki rumah perlindungan bagi orang tempatan yang tidak memiliki rumah, timbunan kasut yang didermakan ada di hadapan mata kami. Pengarah rumah perlindungan tersebut menjemput kumpulan remaja kami untuk membantu memilih kasut yang masih boleh dipakai. Sepanjang hari kami mencari kasut-kasut yang berpasangan dan masih boleh dipakai. Setelah selesai, kami membuang lebih daripada separuh kasut-kasut itu kerana tidak dapat dipakai lagi. Walaupun rumah perlindungan itu tidak dapat menghentikan orang memberi barangan berkualiti rendah, mereka enggan mengagihkan kasut yang berkeadaan buruk.

Orang Israel juga bergelut dalam hal memberi kepada Tuhan. Mereka memberi barangan yang sudah rosak. Ketika Dia berbicara melalui nabi Maleakhi, Dia murka kepada orang Israel kerana mereka mengorbankan binatang yang buta, tempang atau berpenyakit, padahal mereka mempunyai binatang yang sihat untuk dipersembahkan (Maleakhi 1:6–8). Dia menyatakan bahawa perbuatan mereka itu tidak menyenangkan hati-Nya (ayat 10). Dia menegaskan bahawa Dia layak mendapat yang terbaik, dan menegur bangsa Israel kerana mereka menyimpan yang terbaik bagi diri sendiri (ayat 14). Akan tetapi Tuhan juga berjanji untuk mengirim Mesias yang akan mengubah hati mereka dengan kasih dan rahmat-Nya, serta memurnikan keinginan mereka untuk membawa persembahan yang akan menyenang hati-Nya (3:1–4).

Kadangkala kita digoda untuk hanya memberikan sisa-sisa kepada Tuhan. Kita memuji-Nya dan berharap agar Dia memberi semua yang kita inginkan, tetapi kita hanya mempersembahkan remah-remah kepada-Nya. Ketika kita merenungkan segala yang dilakukan Tuhan bagi kita, kita dapat bersukacita dan meraikan ketuhanan-Nya dan memberi yang terbaik kepada-Nya.